Larangan ke luar negara untuk peminjam PTPTN tak wajar, kata DPM


Mikha Chan

Wan Azizah menyatakan rasa terkejut berhubung kenyataan terbaru mengenai larangan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2019.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meyifatkan larangan ke luar negara yang dikenakan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai tidak wajar.

Beliau mengulas cadangan baru-baru ini oleh timbalan ketua eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid bahawa peminjam pinjaman jangka panjang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan yang lebih berat.

“Kabinet masih belum buat keputusan tentang PTPTN. Kami terkejut apabila (kenyataan mengenai larangan itu) keluar lagi.

“PTPTN telah beri peluang kepada anak-anak kita untuk menerima pendidikan tinggi, yang mana ia adalah baik, tetapi ada yang tak bayar hutang mereka, itu masalahnya, namun, larangan ini tak wajar,” katanya kepada pemberita pada acara puasa baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Mastura berkata idea itu datang dari perbincangan dengan pihak berkepentingan, pakar kewangan, ahli parlimen, dan pelajar, yang membawa kepada mekanisme penguatkuasaan sebanyak enam langkah - salah satu daripadanya mereka tidak boleh memperbaharui pasport, lesen memandu dan cukai jalan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata pada awal bulan ini bahawa kertas konsultasi awam yang mengandungi bahagian mengenai dasar dan fakta terkini akan dikemukakan kepada orang ramai pada bulan ini.

Beliau baru-baru ini menarik perhatian exco Pulau Pinang, Afif Bahardin, yang berkata Wan Saiful sepatutnya mengundurkan diri sekiranya beliau tidak dapat mempertahankan janji Pakatan Harapan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman daripada peminjam yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dan menghapuskan dasar penyenaraian hitam terhadap peminjam gagal membayarnya. – 19 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen