Filem bukan sekadar hiburan


Haris Hauzah

APRESIASI dan penghayatan adalah dua aspek penting yang sering kita abaikan dalam seni, budaya dan kesusasteraan. Tradisi seni di tempat kita cenderung untuk melihat dan memberikan penilaian hanya kepada aspek logik dan kefahaman nilai berunsur moral yang banyak dipengaruhi oleh dogma terhadap sesuatu karya.

Ini mengakibatkan berlakunya ketempangan besar pada penjiwaan seni masyarakat. Malah ia juga menyebabkan banyak sekali lompong yang ditinggalkan oleh pengkarya terhadap nilai sebenar sesebuah karya.

Aristotle, salah seorang anak murid Plato, dengan berani telah menyanggah gagasan teori seni gurunya sendiri yang meletakkan aspek peniruan sebagai aspek teater dengan penegasan bahawa karya berbentuk peniruan adalah suatu karya yang tidak benar dan nyata.

Aristotle yang bercita-cita mahu memperbaharui gagasan teori seni Plato lama itu telah memperkenal dan membangunkan istilah mimesis pada dunia.

Mimesis adalah unsur yang menjadikan aspek peniruan itu sebagai suatu yang lebih positif sekaligus memberikan kesan yang lebih kuat dan ketara kepada sesuatu karya seni. Tentunya peniruan yang dimaksudkan Aristotle ini bukanlah peniruan hasil kerja tangan orang lain, akan tetapi suatu bentuk peniruan terhadap segala bentuk aktiviti manusia yang berlaku secara fitrah dan semulajadi.

Menurut Aristotle lagi, mimesis merujuk kepada proses peniruan iaitu penghasilan semula kata-kata dan gerak geri orang lain yang disitilahkannya sebagai imitasi.

Dalam kitab agungnya The Poetics, Aristotle menyebut bahawa imitasi dilakukan secara semulajadi oleh seorang manusia semenjak dari kanak-kanak lagi. Menurutnya, salah satu keuntungan terbesar manusia berbanding haiwan adalah sifat semulajadi manusia yang mengimitasi kata-kata dan gerak geri manusia lain yang kemudiannya berhasil mendapatkan ilmu, pelajaran serta pengetahuan daripada proses alami yang dilakukan tanpa sedar.

Dia kemudiannya merujuk kepada karya-karya drama tragedi yang mana kebanyakannya adalah reprensentasi kehidupan dan aksi manusia sebagai sesuatu yang beliau  istilahkan sebagai mimesis.

Menurutnya, sesebuah karya mewakili manusia bukanlah untuk menceritakan kehidupan atau pengalaman seseorang yang pernah wujud dan hidup di atas muka bumi ini. Sebaliknya watak dan peristiwa dalam sesebuah naratif karya itu adalah alat yang digunakan pengkarya untuk menyampaikan pengetahuan, ilmu, idea, ideologi  serta falsafah yang bersifat sejagat dan semulajadi. 

Di sinilah duduk letaknya ketempangan besar dan kelompongan yang maha luas sebagaimana apa yang disebut pada perenggan awal tulisan ini – sehingga menyebabkan kualiti apresiasi serta mutu penghayatan seni filem kita terjejas teruk dengan bermacam jenis limitasi moral dan dogma yang mengabaikan pengajaran dan pelajaran yang lebih penting sebagaimana yang disebutkan Aristotle melalui proses imitasi.

Aristotle melalui penjelasannya tentang teori peniruan dan imitasi, telah memberikan suatu justifikasi penting bahawa seni, termasuk filem, adalah suatu ilmu pengetahuan yang tidak kurang penting kepada masyarakat.

Filem secara jelas sememangnya mampu jadi sekolah pemikiran yang berupaya dimanfaatkan untuk membangunkan fikiran, fahaman dan ilmu pengetahuan melalui penghayatan dan apresiasi filem sebagai cabang besar kesenian.

Filem sebagai seni yang menjadi sekolah pemikiran buat manusia tentunya bukanlah suatu perkara yang baharu atau isu yang boleh mengundang pelik. Dunia filem Eropah dan Barat telah membuktikan bahawa seni dan filem telah banyak mempengaruhi semangat dan cara fikir masyarakat serta bangsa mereka untuk menjadi suatu komuniti bangsa dunia yang bersikap inklusif serta berfikiran lebih luas dan bebas dengan segala bentuk keterbukaan.

Inilah fungsi dan tujuan mengapa seni itu diciptakan tuhan, sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seniman agung P. Ramlee: “Karya seni adalah satu daripada kerja tuhan, oleh itu buatlah sungguh-sungguh dengan penuh kejujuran.”

Kata-kata tersebut sesungguhnya terkandung seribu satu kebijaksanaan. Ia seruan kepada seluruh para pengkarya untuk menghasilkan suatu hasil seni yang memiliki ilmu dan pengetahuan, sejajar dengan apa yang disarankan tuhan. 

Demikian juga penonton yang akan menghargai dan menghayati seni filem tidak hanya semata-mata sebagai hiburan, kerana filem memang bukan mesin hedonis yang hanya membesarkan keseronokan sambil mengabaikan aspek keilmuan dan pengetahuan.

Ya, filem tentunya adalah hiburan. Tapi ia tidak hanya sekadar hiburan. Ia satu seni untuk manusia belajar dari kisah serta naratif pengisahan manusia lain sebagai cerminan untuk jadi pengajaran. Sebahagiannya terhasil dalam bentuk pemikiran lalu membentuk pengetahuan dan sebahagiannya lagi berupa inspirasi yang menjadikan hidup manusia jadi lebih bererti.

Sebagai seorang pengkarya yang mengetahui akan apa yang dimaksudkan oleh Aristotle serta memahami bagaimana filem sebagai seni itu berfungsi, P. Ramlee telah memperlihatkan sekian banyak contoh pada karya-karya yang dia hasilkan.

Aspek yang dikuasai sepenuhnya oleh P. Ramlee sebagai pengkarya inilah yang telah menyebabkan pemikiran khalayak penonton dapat diperkayakan dengan keluasan pemikiran yang mana sehingga hari ini kita masih mahu bincang dan perkatakan. Kerana P. Ramlee sendiri berpegang dan faham yang manusia itu boleh belajar erti hidup dan makna kemanusiaan dari filem yang kita saksikan. – 19 Mei, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen