.jpg)
YANG Berhormat Dr Maszlee Malik,
Kemelut PTPTN ini masih berpanjangan walaupun sudah lebih setahun Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.
PH ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjanji untuk membuat penangguhan bayaran PTPTN kepada peminjam sehinggalah gaji mereka mencecah RM4,000 serta membatalkan peraturan sekatan perjalanan, senarai hitam ke luar negara.
Walaupun pada ketika itu kerajaan Barisan Nasional (BN) berulang kali menyatakan perkara ini sukar dilakukan, namun disebabkan tawaran yang maha menarik ini, maka ramailah rakyat yang percaya kepada janji ini. Akhirnya, PH ditakdirkan menang PRU14.
Selepas menang, PH berjaya menunaikan janji untuk membatalkan peraturan blacklist, manakala penangguhan bayaran sehingga bergaji RM4,000 masih belum mempunyai kata putus.
Namun, disebabkan keputusan pembatalan sekatan perjalanan ini, dikhabarkan jumlah kutipan bayaran balik PTPTN jatuh merosot walaupun pada Oktober 2018, timbalan kepada Yang Berhormat menyalahkan pentadbiran terdahulu memanjangkan grace period daripada enam bulan kepada 12 bulan sebagai punca kemerosotan kutipan bayaran balik ini (rujuk Penyata Rasmi Dewan Rakyat 24 Oktober 2018).
Yang Berhormat,
Saya memahami PTPTN dana kitaran. Bermakna pinjaman yang diberikan harus dibayar balik dan kutipan bayaran balik ini akan digunakan untuk menampung pinjaman oleh peminjam seterusnya.
Difahamkan, setiap tahun PTPTN memerlukan dana berjumlah RM5 bilion untuk menampung pemberian pinjaman. Tetapi disebabkan jumlah kutipan bayaran balik kurang RM5 bilion, maka PTPTN perlu membuat pinjaman daripada bank atau institusi kewangan lain untuk memastikan peminjam baru dapat terus dibiayai.
Disebabkan kemerosotan kutipan bayaran balik ini, timbul pula cadangan tentang kemungkinan peraturan blacklist akan dilaksanakan semula. Walaupun sebelum ini terbukti kutipan bayaran balik meningkat ketika pelaksanaan peraturan blacklist, besar kemungkinan cadangan ini akan diketepikan.
Mana mungkin kerajaan hari ini hendak membuat u-turn sekali lagi. Kalau u-turn lagi, memang sampai bila-bila tidak selesai masalah.
Disebabkan mungkin tiada lagi u-turn, saya ingin mencadangkan tiga langkah yang mungkin boleh diberi pertimbangan. Ingin diingatkan, cadangan ini hanyalah pendapat peribadi, sekadar ingin membantu Yang Berhormat menteri. Itu pun kalau sudi. Kalau tidak, tidak mengapa.
Yang Berhormat,
Cadangan pertama adalah dengan memperkenalkan struktur pinjaman boleh ubah mengikut keputusan pengajian pelajar seperti yang dicadangkan dalam bajet alternatif Inisiatif Ekonomi Rakyat yang dibentangkan oleh parti pembangkang BN bersempena Bajet 2019 tahun lalu.
Menerusi langkah ini, PTPTN boleh membuat potongan jumlah keseluruhan bayaran balik mengikut kesesuaian keputusan pelajar. Antara syarat yang mungkin boleh ditetapkan adalah peminjam wajib membuat bayaran bulanan tanpa gagal.
Kegagalan membuat pembayaran selama tiga bulan berturut-turut boleh menyebabkan potongan jumlah keseluruhan bayaran balik dibatalkan. Ini langkah yang boleh menggalakkan peminjam membuat bayaran kerana mereka pastinya ingin mengekalkan potongan yang diberikan.
Cadangan kedua pula memperkenalkan semula diskaun selepas penstrukturan semula seperti mana yang dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini. Jumlah diskaun yang diberikan mungkin lebih kecil berbanding potongan menerusi pinjaman boleh ubah seperti dalam cadangan pertama tadi.
Memandangkan diskaun ini diberikan selepas penstrukturan semula, makanya cadangan ini amat sesuai dilaksanakan kepada peminjam yang mempunyai gaji bulanan yang rendah.
Cadangan ketiga dan terakhir ialah memperkenalkan akujanji membuat pembayaran oleh peminjam yang masih belum mendapat kerja atau pendapatan. Sebagai contoh, peminjam yang membuat akujanji boleh membuat penangguhan bayaran balik selama 2 hingga 3 tahun selepas tamat belajar.
Selepas tamat tempoh tersebut, sama ada peminjam tersebut telah mendapat kerja ataupun tidak, peminjam tersebut harus mula membuat bayaran balik. Kumpulan peminjam ini boleh membuat penstrukturan bayaran balik untuk mendapatkan komitmen bulanan yang rendah tetapi mungkin tidak diberi layanan diskaun seperti dalam cadangan kedua.
Jika gagal memenuhi akujanji, PTPTN dibenarkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam tersebut. Cadangan ini boleh membantu peminjam yang mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.
Yang Berhormat,
Itulah tiga langkah yang ingin saya cadangkan. Mungkin tidak masuk akal, mungkin juga dilihat tidak berpatutan. Namun, kemelut PTPTN ini sudah berlarutan walaupun sudah setahun PH menjadi kerajaan. Lebih baik ada cadangan penyelesaian daripada dibiarkan terus berpanjangan.
Perkara paling utama yang hendak dicapai menerusi tiga cadangan ini adalah untuk memastikan jumlah RM5 bilion setiap tahun yang diperlukan PTPTN untuk membiayai permohonan pinjaman baru dapat dipenuhi.
Pada masa sama PTPTN tidak perlu lagi berterusan membuat pinjaman baru daripada bank atau institusi kewangan yang lain memandangkan bayaran faedah yang dikenakan kepada PTPTN adalah lebih tinggi daripada caj ujrah yang dikenakan PTPTN kepada peminjam.
Saya berharap surat terbuka ini sampai kepada pihak Yang Berhomat.
Akhir kata, semoga PTPTN tidak menjadi badan paling bangsat dalam negara ini. Jasa PTPTN kepada negara dalam melahirkan rakyat bijak pandai sangat besar nilainya dan haruslah dihargai.
Untuk itu, sekian, terima kasih. – 18 Mei, 2019.
* Madi Azmadi ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen