UMNO Selangor mencadangkan tiga nama untuk dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan negeri yang baharu bagi menggantikan Ismail Sabri Yaakob, kata sumber.
Menurut sumber, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas di kalangan ketua Umno bahagian negeri Selangor pada Sabtu lalu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Tiga nama tersebut adalah timbalan pengerusi Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta dua ketua bahagian, Johan Abdul Aziz (Hulu Langat) dan Megat Zulkarnain Omardin (Gombak).
“Tiga nama ini akan dihantar ke Umno pusat untuk diputuskan. Mungkin selepas Raya akan diumumkan,” kata sumber yang hadir dalam mesyuarat tersebut kepada The Malaysian Insight.
Mat Nadzari dan Johan antara nama yang dicadangkan untuk dipilih sebagai menteri besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Bagaimanapun kedua-duanya tewas dalam PRU14 dengan majoriti besar. Mat Nadzari, 58 pernah menjadi Adun Batang Kali selama sepenggal selepas menang pada PRU13.
Johan, 53 pula selain menjadi ketua bahagian, beliau juga merupakan setiausaha Umno negeri dan telah menjadi Adun Semenyih sejak PRU12 pada 2008.
Berbanding kedua-dua calon tersebut yang berpengalaman sama ada sebagai Adun atau ketua bahagian, Megat merupakan calon muda kerana baru menjawat jawatan ketua Umno bahagian Gombak dalam pemilihan parti tahun lalu.
Megat yang bertanding di DUN Gombak Setia dalam PRU14 lalu turut tewas selepas mendapat 11,113 undi, paling rendah berbanding dua calon lain daripada Pakatan Harapan (PH) dan PAS yang masing-masing mendapat 24,157 dan 11,758 undi.

Mat Nadzari dan Johan menawarkan diri untuk menjadi pengerusi baharu untuk mengemudi Umno negeri yang hilang kuasa di Selangor sejak PRU12 pada 2008.
Sejak tewas pada 2008, Umno Selangor dipimpin presiden parti yang juga perdana menteri pada waktu itu, Najib Razak sebagai tanda kesungguhan untuk merampas semula negeri itu.
Namun parti itu tetap gagal merampas Selangor dalam PRU13 pada 2013, dan jawatan pengerusi Umno negeri itu seterusnya diambil alih Noh Omar, ketua Umno Tanjung Karang waktu itu.
Pada 2018, parti itu mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRU14 dan jawatan ketua Umno Selangor pada Jun.
Namun Umno masih tidak dapat melantik pengerusi negeri baharu, lalu barisan pemimpin tertinggi parti menugaskan Ismail Sabri, untuk mengambil alih jawatan tersebut pada bulan berikutnya.
Pelantikan naib presiden parti itu bagi menyusun struktur pentadbiran Umno negeri selepas gagal mencari penyelesaian bagi menentukan teraju utama di Selangor.
Ketua bahagian tolak Khir Toyo
Satu lagi nama yang dilaporkan menawarkan diri untuk jawatan tersebut adalah bekas menteri besar, Dr Mohamad Khir Toyo, namun majoriti ketua bahagian Umno tidak setuju, kata sumber.
Antara alasannya, Dr Khir yang pernah menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas disabitkan dengan tuduhan rasuah itu bukan ketua Umno bahagian.
“Jika beliau tidak mendapat sokongan, apabila panggil mesyuarat akan ramai yang tidak hadir, susahlah,” kata sumber.
Selain itu, Umno Selangor juga lebih berminat kepada ketua bahagian yang boleh mencari dana untuk menggerakkan parti kerana akaun mereka masih dibekukan, kata sumber.
“Soal kewangan sangat penting memandangkan akaun Umno Selangor masih lagi dibekukan. Orang yang dipilih mesti mempunyai sumber kewangan yang kukuh atau bijak mencari dana untuk uruskan parti,” kata sumber.
Akaun Umno Selangor antara yang dibekukan oleh agensi antirasuah bagi menyiasat dakwaan bahawa dana 1MDB digunakan untuk membiaya kegiatan politik.
Dua lagi negeri yang berdepan masalah untuk melantik teraju utama parti – Perlis dan Terengganu – sudahpun melantik pengerusi baharu.
Bekas menteri besar Terenggganu, Ahmad Said kembali mengambil alih teraju Umno negeri sejak Januari lalu dari pemangku, naib presiden Mahdzir Khalid.
Keputusan itu dicapai berdasarkan kepada persetujuan bersama kesemua lapan Ketua Bahagian Umno di Terengganu secara konsensus.
Naib presiden Khaled Nordin pula melepaskan jawatan pemangku ketua Umno Perlis selepas beberapa bulan lalu dan digantikan dengan Zahidi Zainul Abidin, ketua Umno Padang Besar.
Zahidi berkata, beliau telah dilantik oleh timbalan presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, Mohamad Hasan untuk menerajui negeri itu. – 18 Mei, 2019
Komen