ISU kesihatan mental perlu dibincang dengan terbuka supaya gejala bunuh diri dalam kalangan remaja yang tertekan tidak berulang, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri belia dan sukan itu berkata, dengan perbincangan terbuka di laman sosial, mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental akan berkongsi pengalaman sekaligus mampu menghalang gejala membunuh diri daripada berleluasa.
“Mulakan perbincangan dengan keluarga dan rakan-rakan, kalau kita mulakan kempen kesedaran, ramai akan mula memperkatakannya,” kata Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berusia 16 tahun yang membunuh diri di Sarawak baru-baru ini, pada forum berkaitan kesihatan mental di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.
Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata, keluarga dan rakan-rakan boleh menjadi bantuan sokongan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.
Menurutnya, melalui perbincangan terbuka juga, isu kesihatan mental yang dianggap taboo oleh masyarakat boleh diperkatakan dengan jujur.
“Kalau ada rangkaian terbaik semua kementerian, masalah takkan berulang,” katanya.
Tambahnya, mereka yang mendapatkan bantuan daripada pakar juga tidak boleh dianggap sebagai gila.
“Isu kesihatan mental kalau tidak diketengahkan akan mudah dikebelakangkan. Ia masih dilihat taboo, dan tidak mahu bincang secara terbuka, orang yang meminta bantuan akan dianggap bermasalah, kita tak patut gelar mereka gila,” katanya.
Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sejak 2012 hingga 2017, sebanyak 319 kes bunuh diri telah direkodkan.
Syed Saddiq turut mengakui beliau pernah mengalami masalah kesihatan mental, namun berjaya melaluinya dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan di sampingnya.
“Sudah pasti, saya tidak malu mengakuinya, faktanya, satu daripada lima anak muda Malaysia akan mengalami tekanan.
“Saya bernasib baik kerana ada keluarga yang penyayang, rakan-rakan yang baik, ketika waktu sukar. Kita perlu pastikan kita bersama-sama melaluinya.” – 17 Mei, 2019
Komen