Umat Islam perlu keluar dari pemikiran dogmatik, kata Mujahid


Looi Sue-Chern

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menggesa umat Islam agar keluar dari pemikiran sempit dan pengaruh pemikiran dogmatik.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mei, 2019

UMAT Islam perlu bangkit menentang rasuah, pemikiran agama dogmatik dan cetek, kata Dr Mujahid Yusof Rawa, dan menambah apa yang dilakukan sekarang tidak cukup untuk membanteras masalah ini. 

Menteri Hal Ehwal Agama itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan konsep rahmatan lil alamin untuk menentang pemikiran ortodoks yang mengheret umat Islam kepada pemikiran ke belakang.

“Kita telah bangkit, tetapi ia tidak mencukupi,” kata Mujahid yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

“Seluruh ummah perlu bangkit menentang pemikiran seperti ini yang akan menyebabkan kita menjadi regresif.”

Mujahid berkata, terdapat segelintir pihak yang menuduh kerajaan gagal mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam, dan akan menggunakan apa sahaja peluang untuk menyokong aliran pemikiran mereka. 

“Apakah Islam tak dijaga? Itu Islam dia, bukan Islam yang kita faham,” katanya kepada pemberita pada Kembara Rahmat dan majlis berbuka puasa di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. 

Beliau menyebutkan bagaimana presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya menyelar siri setem Pos Malaysia yang menampilkan rumah ibadat, seperti gereja.

Aminuddin meuatnaik imej setem yang memaparkan gambar gereja, dan menyifatkan ia sebagai “buli terhadap umat Islam”.

Beliau bagaimanapun memadam posting berkenaan dan meminta maaf kepada Pos Malaysia selepas syarikat itu menyatakan mereka mencetak setem seperti itu sejak era pentadbiran Barisan Nasional. 

Mujahid berkata, kumpulan seperti ini perlu berhati-hati dengan kenyataan mereka yang melambangkan pemikiran mereka. 

“Mereka hanya mencari alasan untuk menyatakan PH tidak menjaga Islam. Itu sahaja yang ada di kepada mereka. Ini adalah salah. 

“Sepatutnya mereka kaji dahulu sebelum membuat kesimpulan seperti itu. Namun mereka ini telah membuat keputusan. 

“Apabila mereka ada sesuatu isu, seperti kes setem ini, mereka akan kata ‘lihat, ini adalah setem Kristian dnegan gereja. Ini yang mereka panggil kerajaan rahmatan lil alamin’.

“Setem sepert ini juga dikeluarkan ketika era Barisan Nasional. Apabila kita bercakap mengenai rumah ibadat, ia merujuk kepada semua..masjid, kuil. Ia bagi menunjukkan Malaysia yang berbilang kaum, yang mana kita hidup dengan harmoni,” katanya.

Mujahid berkata, setiap kali ada yang membuat kenyataan seperti ini, mereka hanya menunjukkan betapa “tidak bijak dan berfikirkan sempitnya” mereka. 

“Apa yang mereka lakukan tidak akan membantu kemajuan Islam. Maaf. Mereka hanya akan bawa agama ke belakang. Orang seperti ini akan membawa fitnah, terutamanya kepada umat Islam itu sendiri. 

“Kita perlukan masyarakat yang berfikiran progresif. Pemikiran progresif yang sejajar dengan ajaran Islam, bukan pemikiran yang membawa tafsiran Islam ke belakang.”

Mujahid juga berkata, rakyat boleh menilai sendiri pemikiran seperti ini. – 17 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen