PUTRAJAYA sedang merangka pelan jangka masa panjang bagi menyelesaikan kemelut membabitkan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya, usaha itu melibatkan beberapa kementerian dan tidak termasuk cadangan menyenarai hitam secara menyeluruh peminjam yang enggan membayar hutang pinjaman pelajaran itu.
“Minggu lepas saya bersama Menteri Pendidikan Maszlee Malik, (Pengerusi PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbincang bersama-sama berkenaan sesi konsultasi dan pada masa sama bagaimana nak keluarkan pelan jangka masa panjang,” katanya selepas forum berkaitan kesihatan mental di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak hari ini.
“Kita perlu ada pelan jangka masa panjang tapi buat masa ini kita kena ada konsultasi rakyat secara terbuka, sebab nak dapatkan pendapat semua pihak,” tambahnya.
Jelas Syed Saddiq, syarat tertentu harus diletakkan agar peminjam yang belum mendapat pekerjaan dan mereka yang belum menerima pendapatan “bermaruah” tidak disenarai hitamkan.
“Kalau gaji mula gaji RM1,400, RM1,200, kita terus letakkan beban tinggi, sukar buat mereka,” katanya.
Menurut Ketua Pemuda Bersatu itu, sesi konsultasi ini harus berlangsung dengan jujur supaya pandangan rakyat dapat dikumpulkan sebelum keputusan muktamad mengenai kedudukan peminjam dibuat sebelum akhir Julai.
Jelas beliau, perbincangan yang dilakukan bertujuan membolehkan PTPTN meneruskan fungsinya membantu membiayai kos pengajian peminjam.
“Contohnya, kementerian kewangan nak keluarkan belanjawan khas untuk PTPTN, kementerian pendidikan mencari jalan untuk fokus bantuan PTPTN kepada jurusan yang diperlukan dan disasarkan kepada kumpulan lebih besar.
“PTPTN pula nak tahu bagaimana mereka boleh memungut bayaran balik pinjaman supaya boleh diberikan kepada pelajar baru,” katanya.
Sehubungan itu beliau berkata, sesi konsultasi itu perlu melibatkan penyertaan anak muda, ibu bapa, dan guru dalam perbincangan mereka.
“Saya tidak bersetuju dengan senarai hitam anak muda. Itu perkara prinsip yang saya pegang sejak dahulu. Sebab itu sistem senarai hitam itu belum dikembalikan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pihaknya akan tetap membantah sekiranya perkara itu di bawa ke Kabinet.
“Sekiranya kalau di bawa ke Kabinet saya akan tolak dan pastikan rakan Kabinet yang lain akan tolak,” katanya.
Syed Saddiq mengulas laporan media semalam yang memetik Wan Saiful berkata PTPTN menimbang beberapa cadangan daripada perbincangan meja bulat mengenai kedudukan peminjam dan masa depan dana itu.
Antara cadangan bagi memastikan peminjam culas membayar balik adalah sekatan memperbaharui pasport, lesen memandu, cukai jalan kenderaan, pendaftaran perniagaan dan sekatan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat peminjam yang culas.
Proses konsultasi rakyat bermula semalam dan berakhir 13 Jun ini bagi membolehkan orang ramai memberi maklum balas dan idea mengenai skim bayaran balik pinjaman baru yang lebih berpatutan.
Langkah itu juga dilaksanakan PTPTN untik memastikan perbadanan itu mampu untuk terus menyediakan pinjaman kepada pemohon baharu.
Proses berkenaan dilaksanakan dalam bentuk kajian dalam talian menerusi laman web rasmi PTPTN, sekali gus memberi peluang kepada orang awam mengambil bahagian dalam proses memutuskan dasar kerajaan. – 17 Mei, 2019
Komen