Ikon pengguna SM Idris meninggal dunia


Looi Sue-Chern

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris yang aktif memperjuangkan hak pengguna dan menyuarakan isu alam sekitar meninggal dunia pada usia 93 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2019.

PRESIDEN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Beliau meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Georgetown pada jam 4.45 petang.

Pegawai penyelidik CAP NV Subbarow ketika dihubungi mengesahkan berita berkenaan.

Beliau berkata, presiden CAP itu telah masuk dan keluar dari hospital baru-baru ini namun tidak mengalami sakit yang serius

“Beliau pergi jalani pemeriksaan dan tak ada kes sakit yang teruk.

“Beliau juga kerap datang ke pejabat,” katanya.

Subbarow berkata, kali terakhir beliau melihat SM Mohamed Idris di pejabat mereka di Jalan Masjid Negeri minggu lepas.

“Kami sangat sedih,” katanya.

Walaupun sudah tua, Idris aktif memperjuangkan hak pengguna dan menyuarakan isu alam sekitar.

Idris sebelum ini berkata, beliau mengkritik semua kerajaan tanpa mengira parti mana yang berkuasa.

Idris merupakan pengguna dan ahli alam sekitar juga Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Beliau membantah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Idris dijadual mengadakan sidang akhbar pada Isnin depan mengenai petisyen terhadap PSR.

Beliau juga ahli majlis bandar pada 1955.

Idris juga merupakan presiden Citizens International, sebuah inisiatif global yang memupuk kesedaran, aktivisme dan advokasi mengenai isu yang penting terhadap kesejahteraan serta kestabilan manusia. 

Idris dilahirkan di India pada 6 Disember 1926. Beliau mendapat pendidikan awal di madrasah dan sekolah Tamil di sana sebelum berpindah ke Pulau Pinang bersama ayahnya.

Beliau menghadiri sekolah Kristian di Pulau Pinang tetapi tidak dapat menghabiskan persekolahan akibat Perang Dunia Kedua.

Antara yang tampil mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham adalah Menteri Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution.

“Saya banyak mendapatkan nasihat daripada beliau terutamanya isu kepenggunaan. Al Fatihah,” coretnya di Twitter. – 17 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen