Ketua jururawat mati dibunuh: Apa yang kita tahu setakat ini?


Polis menyifatkan kejadian yang menimpa ketua jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin itu sebagai kes bunuh. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2019.

SEORANG lelaki Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Perintah reman yang berkuat kuasa hari ini sehingga 23 Mei dikeluarkan Majistret A Akhiruddin Acho di Sepang.

Siti Kharina, 40, pada mulanya dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu. Bagaimanapun beliau ditemui sudah meninggal dunia dengan beberapa kesan kelar pada badan di sebuah unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya, kelmarin.

Polis menyifatkan kejadian sebagai kes bunuh.

Berikut adalah beberapa maklumat yang kita tahu mengenai kes pembunuhan itu berdasarkan laporan media setakat ini.

Siapa Siti Kharina?

Siti Kharina ialah ketua jururawat di Hospital Serdang, Selangor. Beliau berkhidmat di hospital itu sejak lima atau enam tahun lalu dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuan, masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun.

Beliau menetap bersama rakan sekerja di kuarters jururawat sementara suami dan tiga anaknya menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Siti Kharina sepatutnya pulang ke kampung selepas habis syif malam pada Jumaat, 10 Mei.

Bagaimana kes bermula?

Siti Kharina tidak pulang ke kuarters pada 8 Mei lalu. Beliau juga tidak masuk kerja keesokan harinya.

Rakan serumahnya kemudian menghubungi ahli keluarga Siti Kharina bertanya keadaannya setelah tidak pulang ke rumah dan bertugas di hospital.

Pada 12 Mei, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina dilihat kali terakhir pada jam 4 petang, 8 Mei di tempat letak kereta hospital.

Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih dengan nombor pendaftaran BEY 1361.

Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan turut mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas sejak Khamis 9 Mei.

Pada 13 Mei, polis memulakan siasatan sebagai kes orang hilang berdasarkan laporan yang dibuat di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang.

Apa hasil siasatan?

Satu laporan polis mengenai penemuan mayat di sebuah unit di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya pada Rabu 15 Mei lalu membongkar misteri kehilangan Siti Kharina.

Unit kondominium itu disewakan kepada Siti Kharina. Seorang juruteknik datang untuk memeriksa aduan kerosakan mesin basuh di unit berkenaan tetapi melihat ada kesan darah mengalir di lantai dari sebuah bilik.

Polis yang datang menemui mayat seorang wanita dengan kesan kelar pada leher, dada dan kepala.

Mayat disahkan identitinya sebagai Siti Kharina yang hilang dilapor hilang sejak 8 Mei lalu.

Siasatan awal polis mengenai laporan orang hilang tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai rumah sewa kedua ini.

Maklumat itu juga tidak diketahui oleh rakan atau keluarga mangsa.

Siapa suspek?

Polis menahan tiga individu, semuanya warga asing bagi membantu siasatan.

Seorang lelaki Nigeria yang disebut oleh polis sebagai suspek utama, direman tujuh hari sehingga Khamis, 23 Mei.

Suspek berusia 36 tahun ditahan di sebuah kafe di pusat beli belah Cheras Sentral, Cheras pada petang 16 Mei.

Siasatan awal polis mendapati suspek adalah orang terakhir keluar dari unit kondominium tempat mayat ditemui, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dua lagi individu, seorang lelaki Pakistan berumur 38 tahun dan seorang wanita Nigeria berusia 35 tahun direman juga tujuh hari sehingga Rabu, 22 Mei.

Polis menyiasat tiga individu ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas jenayah bunuh.

Polis setakat ini menolak teori samun kerana tiada kesan pecah masuk di tempat kejadian. 

Bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan Siti Kharina mati akibat luka hirisan pada leher, kata polis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai tidak membuat spekulasi untuk tidak mengganggu siasatan kes dan menghormati perasaan keluarga mangsa. – 17 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen