TIADA kesan cengkaman ditemui pada tubuh Muhammad Adib Mohd Kassim yang menunjukkan dia ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) semasa rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada November lalu, inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba itu itu diberitahu hari ini.
Pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner berkata jika Adib ditarik keluar dari van EMRS sudah tentu terdapat tanda pada tubuhnya.
“Tiada tanda cengkaman yang ditemui ketika kami jalankan bedah siasat.
“Sukar untuk menarik seseorang dari kenderaan yang sedang bergerak terutamanya (jika) dia seorang yang sihat,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Dr Hafizam menyangkal pendapat seorang lagi pakar forensik bahawa Adib ditarik keluar dari van oleh perusuh dan dipukul. Beliau disoal siasat oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Syazlin Mansor hari ini.
Syazlin bertanya kepada Dr Hafizam sama ada beliau setuju dengan pendapat seorang saksi lain, Ketua Jabatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood yang memberitahu inkues bahawa tanda pada tubuh Adib mungkin tanda cengkaman.
“Dr Shah kata itu tanda cengkaman, tapi kamu kata bukan?” soal Syazlin.
Dr Shah menjalankan pemeriksaan klinikal ke atas Adib pada hari keempat Adib di hospital, manakala Dr Hafizam melakukan bedah siasat.
“Berdasarkan bedah siasat, tiada petunjuk. Mangsa meninggal dunia 21 hari selepas kejadian.
“Mungkin terdapat manipulasi pada tubuh.
“Teori bahawa dia diheret tidak sesuai dengan keadaan,” kata Dr Hafizam. – 17 Mei, 2019.
Komen