PTPTN mesti jelaskan salah faham mengenai larangan perjalanan, kata Maszlee


Looi Sue-Chern

Menteri Pendidikan Maszlee Malik ketika melawat SJK (T) Sg Ara di Pulau Pinang pagi tadi. Beliau berkata PTPTN perlu terangkan kepada media supaya tak timbul salah faham. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Mei, 2019.

TERDAPAT salah faham mengenai cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu memperkenalkan semula larangan perjalanan bagi memaksa peminjam membayar semula pinjaman mereka, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Larangan tersebut pertama kali diperkenalkan semasa pentadbiran Barisan Nasional. Ia dimansuhkan tidak lama selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya tahun lalu.

“Saya rasa apa yang PTPTN sebut ialah mengenai rundingan awam yang sedang dijalankan. Itu bukan cadangan mereka. Mereka meminta maklum balas (kepada cadangan yang dikemukan pihak lain).

“Saya rasa PTPTN perlu terangkan kepada media supaya tak timbul salah faham,” beliau memberitahu pemberita semasa mengadakan lawatan ke SJK (T) Sg Ara di Pulau Pinang pagi tadi.

PTPTN melancarkan kaji selidik Konsultasi Rakyat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.

Ia merupakan kaji selidik untuk mengumpul maklum balas mengenai mekanisme baharu skim bayaran balik pinjaman yang berpatutan yang dilancarkan semalam sehingga 13 Jun secara dalam talian kepada orang awam.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan semasa majli pelancaran semalam dipetik berkata perbadanan itu akan mengemukakan cadangan untuk mengenakan semula larangan perjalanan iaitu cara paling berkesan untuk memaksa peminjam membayar semula pinjaman mereka.

PTPTN dilaporkan berjaya mengutip RM2 bilion daripada 684,000 peminjam melalui pelaksanaan larangan tersebut.

Bagaimanapun, WanSaiful berkata keputusan muktamad akan ditentukan oleh Kabinet.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Mastura Mohd Khalid juga dilaporkan berkata PTPTN sedang menimbang untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat seperti sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan kepada peminjam yang culas.  – 17 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen