POLIS Myanmar melepaskan tembakan amaran untuk menyuraikan kumpulan yang bertindak melempar bom petrol ke arah mereka dan cuba menyekat bot bantuan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di negeri Rakhine yang dilanda konflik, yang mana dipercayai puluhan ribu masih memerlukan bantuan, lapor media tempatan pada Khamis.
Ketegangan kaum semakin memuncak di seluruh Rakhine yang mana serangan oleh militan Rohingya pada bulan lalu mencetuskan tindakan keras tentera dan juga pembunuhan beramai-ramai yang belum pernah berlaku sebelum ini yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “pembersihan etnik”.
Terkandas selepas perkampungan mereka dibakar, ramai etnik Rohingya yang masih berada di Rakhine amat terdesak memerlukan bantuan.
Kawasan yang teruk terjejas akibat ketegangan kaum masih lagi di bawah kawalan pihak tentera walaupun pihak berkuasa berjanji untuk memberikan laluan yang selamat untuk penyaluran bantuan.
Etnik Rakhine pula percaya bantuan daripada agensi luar mengabaikan keperluan mereka dan berat sebelah kepada Rohingya, kaum minoriti yang dinafikan kewarganegaraan di Myanmar dan dilabel sebagai ‘Bengali’ asing.
Kira-kira 300 orang daripada majoriti Buddha di bandar Sittwe berkumpul pada Rabu di jeti yang mana bot membawa 50 tan barangan bantuan termasuk pakaian, bekalan air dan kelambu sedang bersiap sedia untuk menyusuri ke hulu Maungdaw.
“Mereka memaksa ICRC untuk memunggah keluar bantuan daripada bot berkenaan dan menghalang bot itu daripada meninggalkan jeti,” lapor Global New Light of Myanmar pada Khamis yang memetik Jawatankuasa Maklumat Myanmar.
Pegawai polis kemudiannya tiba apabila kumpulan terbabit dilihat semakin ramai, manakala sami Buddha juga cuba menenangkan kumpulan itu, namun orang ramai mula membaling batu dan bom petrol ke arah anggota polis, menurut laporan itu.
Sebelum krisis memuncak bulan lalu, puluhan ribu etnik Rohingya dan juga etnik Rakhine dipindahkan berikutan beberapa siri keganasan dan sudah pun memerlukan bantuan daripada pihak luar dan tempatan.
Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dikecam pada awal krisis berkenaan selepas gambar paket makanan Program Makanan Dunia dikongsikan pada laman Facebook pejabatnya selepas ia dirampas daripada militan Rohingya.
Kumpulan bantuan asing berkata ia menyebabkan mereka menjadi sasaran ancaman tempatan dan ramai yang menarik diri dan menghentikan operasi atas sebab keselamatan.
Ratusan orang terbunuh dalam keganasa sejak 25 Ogos lalu yang memaksa 420,000 masyarakat Islam Rohingya melarikan diri daripada operasi tentera ke Bangladesh.
30,000 etnik Rakhine yang beragama Buddha dan Hindu turut dipindahkan dan mendapatkan perlindungan di biara dan sekolah di sekitar Sittwe. – AFP, 21 September, 2017.
Komen