Kenapa tekan peminjam PTPTN, soal Anwar


SM Amin

Anwar berkata, sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mei, 2019.

PEMINJAM sepatutnya diberi kelonggaran untuk membayar balik dan bukan ditekan dengan peraturan baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata demikian bagi mengulas rancangan PTPTN untuk mengutip baki hutang termasuk menyekat peminjam memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Oleh itu beliau mengalu-alukan cadangan daripada rakyat untuk menangani peminjam berkenaan, katanya lagi.

“Saya setuju supaya rakyat berikan pandangan yang positif supaya keputusan kita buat nanti itu tidak dirasakan menekan peminjam. Saya akan sokong kehendak rakyat. 

“Saya percaya rakyat umumnya tidak akan bersetuju dengan apa-apa tindakan yang keras terutamanya di kalangan yang belum bekerja.

“Dia pinjam, dia tidak ada kerja (lagi). Hendak tekan lagi sebab apa?” soalnya ketika ditemui pemberita di satu majlis berbuka puasa di Bangi hari ini.

Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid dalam taklimatnya hari ini berkata rancangan untuk mengutip hutang dari peminjam culas itu akan dikemukakan kepada Kabinet.

Menurutnya, sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Ia bagi meningkatkan jumlah kutipan hutang yang kini pada tahap RM8.4 bilion sahaja setakat Februari, berbanding RM56 bilion pinjaman dikeluarkan.

Sekatan perjalanan itu diperkenalkan Barisan Nasional ketika mentadbir Putrajaya dengan menyenarai hitam peminjam PTPTN dari keluar negara.

Pakatan Harapan (PH) membantah keras tindakan ini yang turut dimasukkan dalam manifesto PH Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk menghapuskan dasar berkenaan.

Selain itu, PH turut menawarkan janji untuk untuk membolehkan peminjam yang memperoleh pendapat kurang RM4,000 sebulan menangguhkan bayaran.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan pada Jun tahun lalu mengumumkan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar ditarik balik. 

Dengan itu, sebanyak 429,945 peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen turut dibatalkan.

Langkah berkenaan bagaimanapun dikritik BN yang mendakwa dasar tersebut akan memberi kesan kepada peminjam dan bakal peminjam baharu. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen