Menteri Sarawak mahu guru dilatih kesan kemurungan pelajar


Desmond Davidson

KEMENTERIAN Pendidikan perlu menyediakan latihan kepada guru sekolah dan kaunselor supaya mereka dapat mengesan tanda-tanda kemurungan di kalangan pelajar, kata menteri Sarawak.

Fatimah Abdullah, Menteri Kesejahteraan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri, berkata remaja perempuan berusia 16 tahun yang membunuh diri pada hari Isnin selepas dicabar oleh rakan-rakan dan pengikut Instagramnya, adalah contoh remaja yang memiliki masalah namun tidak disedari guru dan kaunselornya.

“Kita memerlukan beberapa jenis kursus yang boleh membantu mereka mengesan kelakuan tidak normal di kalangan pelajar yang mempunyai masalah peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Raya dan Gawai di Petra Jaya petang ini.

Fatimah berkata semua guru harus diajar bagaimana mengenal pasti gejala kemurungan di kalangan pelajar.

“Bukan hanya Guru Hal Ehwal Murid (guru kebajikan pelajar) atau kaunselor pelajar.”

Setakat ini, sekolah hanya memiliki guru yang ditugaskan untuk menjaga kebajikan pelajar, tidak ada yang khusus dilatih bagi menangani kemurungan di kalangan pelajar.

Beliau berkata campur tangan awal dalam kesihatan mental pelajar dapat menghindarkan tragedi, lebih-lebih lagi ketika masalah kesihatan mental semakin meluas di kalangan remaja.

“Masa telah berubah,” katanya, di samping menambah bahawa media sosial telah mengubah bagaimana pelajar berkelakuan dan berinteraksi, hal ini katanya memberi cabaran kepada guru.

Remaja berusia 16 tahun melompat dari tingkat tiga bangunan kedai di MJC Batu Kawa kira-kira lima jam selepas membuat tinjauan di akaun Instagramnya yang meminta pengikutnya untuk membantu memilih antara “D or L”, merujuk kepada kematian atau kehidupan.

Enam puluh sembilan peratus daripada responden berkata dia harus memilih kematian.

Remaja, yang ditemui di jalan raya di bawah bangunan rumahnya pada pukul 8 malam hari Isnin lalu, dilaporkan mempunyai masalah perpecahan keluarga. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen