TEMPOH tahanan reman seorang pegawai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat kontraktor dalam kes rasuah pembekalan peralatan kenderaan tentera disambung empat hari lagi sehingga Isnin.
The Malaysian Insight difahamkan ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat sama yang turut direman bagi siasatan kes sama pada 13 Mei dibebaskan dengan jaminan RM50,000.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Putrajaya Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tempoh tahan reman selama empat hari bermula Isnin lalu ke atas kedua-duanya tamat pada hari ini untuk membantu siasatan.
Sumber berkata, SPRM turut merampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan semalam.
The Malaysian Insight pada Isnin melaporkan ketua pegawai eksekutif bergelar “Datuk” dan CFO tersebut terlibat dalam urusan pembekalan peralatan kenderaan bernilai lebih RM17 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan untuk dua kereta perisai – AV8 dan Adnan – yang didakwa berlaku sekitar 2014 hingga 2017.
SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 serta dokumen berkaitan projek tersebut.
Beberapa saksi juga telah dipanggil dan agensi anti rasuah itu tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM iaitu kesalahan menerima suapan. – 16 Mei, 2019
Komen