Aktivis Taman Rimba Kiara tidak pernah jumpa saya, kata Khalid Samad 


Mikha Chan

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, beliau akan tunjukkan semua dokumen mengenai projek berkenaan kepada aktivis terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019

AKTIVIS yang meembantah pembangunan Taman Rimba Kiara perlu berjumpa sendiri dengan Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung dakwaan mereka, kata menterinya, Khalid Samad hari ini.

“Mengapa tidak berjumpa dengan saya sebaliknya membuat kenyataan di media?” kata Khalid pada satu sidang media.

“Saya akan tunjukkan kepada kamu semua dokumen. Saya tidak tahu berapa kali kamu bertemu presiden persatuan penduduk, tetapi kamu tidak jumpa saya.

“Datang dan dengar dari sebelah pihak saya juga. Kamu tak boleh harapkan media untuk siar semua yang saya cakap.”

Khalid berkata mereka seperti Cynthia Gabriel dan Ambiga Sreenevasan yang menuduh beliau mempunyai konflik kepentingan dalam pembangunan semula taman pinggir bandar di Taman Tun Dr Ismail, tidak datang bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.

Gabriel yang merupakan pengarah eksekutif pemerhati anti-rasuah C4 dan bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga, semalam menggesa Khalid menjalankan tugasnya sebagai menteri dan pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, yang merupakan pihak dalam projek pembangunan semula itu.

Terdapat juga cadangan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas melihat kemungkinan membatalkan projek pembangunan itu kerana potensinya sebagai projek yang “tidak sah”.

“Tidak sah” yang dimaksudkan oleh aktivis berkenaan merujuk kepada penganugerahan kontrak projek pembangunan semula di bawah bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga pengerusi Yayasan WP ketika projek itu dianugerahkan kepada pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd.

Gabriel turut mendakwa bahawa sekutu Tengku Adnan mempunyai kepentingan dalam Memang Perkasa melalui pegangan saham di syarikat lain. – 16 Mei, 2019

MENYUSUL 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen