PENEROKA Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah mereka kerana undang-undang sedia ada menyulitkan proses pindah milik, dakwa seorang pensyarah undang-undang.
Pensyarah Universitti Teknologi Mara (UiTM) Rohayu Majid mendakwa demikian dengan membangkitkan peruntukan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1967, lapor Berita Harian.
Jelasnya mengikut peruntukan sedia ada dalam GSA, peneroka sukar pindah milik tanah Felda walaupun mempunyai geran hak milik selepas premium tanah dijelaskan sepenuhnya.
Ini memandangkan, akta itu menghalang sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah dan wasiat dilakukan tanpa persetujuan bertulis Felda, katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
“Keadaan ini berlaku kerana ada perjanjian di antara peneroka asal dan Felda yang mengikat kedua-dua pihak, sekali gus menghalang milikan sempurna diberikan kepada peneroka terhadap tanah rancangan yang diusahakan,” katanya.
Oleh itu, generasi kedua peneroka tidak boleh dianggap pewaris tanah yang sah biarpun peneroka mempunyai geran individu, kata pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah UiTM itu.
Tambahnya, setakat ini Felda tidak pernah memberi kelulusan berkaitan penukaran hak pemilikan tanah peneroka.
Sebaliknya, akta itu hanya membenarkan dua waris dilantik sebagai pentadbir untuk menguruskan harta dan mereka bukan pemilik sah aset terbabit, katanya.
“Status pentadbir ini tidak sama dengan pemilik tanah. Peranannya hanya mengurus harta berkenaan secara saksama di antara waris.
“Maksudnya hasil yang diperoleh wajib diagihkan kepada waris lain mengikut bahagian dipersetujui sama ada melalui sistem faraid atau muafakat,” katanya.
Menurut Berita Harian, 40% daripada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara adalah peneroka asal dan daripada jumlah itu, hampir 79,000 adalah generasi kedua dan ketiga.
Tambahnya, peruntukan itu akan memberi kesan jangka panjang, terutama apabila wujud permintaan pembangunan di tanah rancangan terbabit sehingga menuntut pengambilan tanah.
“Jika berlaku pengambilan tanah pada masa hadapan untuk pembangunan misalnya, apakah jaminan kepada waris yang hanya dilantik sebagai pentadbir ini?
“Pastinya sebagai pentadbir mereka tidak mempunyai suara, hak dan kuasa seperti mana pemilik tanah,” katanya.
Kajian yang dijalankannya pula menunjukkan hanya 25.6 % menyedari mengenai masalah warisan tanah itu, daripada 130 peneroka dan waris berusia 18 hingga 59 tahun di Kedah dan Terengganu.
Malah ada peneroka yang langsung tidak mengetahui tanah pusaka Felda tidak boleh diwarisi secara mutlak kepada generasi seterusnya, katanya.
Laporan itu turut memetuk kenyataan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), yang menggesa pindaan akta tersebut dilakukan secepat mungkin.
Setiausaha Anak, Rauzan Esa berkata ia perlu dipinda sebelum tamat tempoh perjanjian tanah pajakan peneroka kepada Felda selama 99 tahun.
“Tempoh status pajakan tanah Felda hanya berbaki kira-kira 30 tahun. Andai tiada pindaan dibuat untuk menyelesaikan isu tanah pusaka Felda ini, apa jaminan kepada generasi peneroka apabila tempoh pajakan itu tamat?”
Beberapa bahagian dalam akta itu terutama dalam isu pindah milik harta pusaka, perlu dipinda kerana pada masa ini ia dilihat menguntungkan sebelah pihak pihak sahaja.
“Masalah utama berhubung hak milik tanah Felda ialah ia berstatus pemilikan tidak sempurna, menyebabkan segala transaksi membabitkan tanah terbabit tertakluk kepada kebenaran pihak Felda.
“Walaupun geran individu dikeluarkan, ia tetap tidak boleh dianggap milikan sempurna kerana ada perjanjian di antara peneroka asal dan Felda yang mengikat kedua-dua pihak,” katanya. – 16 Mei, 2019
Komen