Ikan beku, kacang panjang dalam senarai barangan harga terkawal


Mikha Chan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga jenis ikan beku dan kacang panjang antara enam barang yang akan dimasukkan ke dalam senarai barangan harga terkawal untuk musim perayaan akan datang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2019.

TIGA jenis ikan beku dan kacang panjang antara enam barang yang akan dimasukkan ke dalam senarai barangan harga terkawal untuk musim perayaan akan datang, kata Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kawalan harga akan meliputi Hari Raya Aidil Fitri, Kaamatan dan Hari Gawai.

Enam barangan itu termasuk ikan kembung beku, ikan selar beku, ikan selayang beku, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.

“Skim Hari Raya Puasa, Kaamatan dan Hari Gawai adalah untuk menghentikan kenaikan harga barangan keperluan semasa musim perayaan.

“Harga maksimum yang ditetapkan untuk pembekal dan peruncit ditetapkan bagi memastikan mereka memberi manfaat kepada pengguna serta peniaga dengan sewajarnya,” katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Terdapat 27 barangan dalam senarai untuk Hari Raya Aidil Fitri tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 21 barangan dan 14 serta 13 masing-masing untuk Kaamatan dan Gawai.

Skim Hari Raya Aidil Fitri akan berlangsung dari 21 Mei hingga 19 Jun.

Skim Kaamatan akan berlangsung dari 23 Mei hingga 5 Jun dan dari 25 Mei hingga 7 Jun untuk Hari Gawai.

“Peniaga yang melanggar skim itu akan dikenakan hukuman di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Individu yang didapati melanggar akta boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda sehingga RM50,000.

Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau membayar kompaun sehingga RM250,000.

“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memantau serta memastikan bekalan mencukupi dan harga bersesuaian.

“Pegawai kementerian akan ditempatkan di lokasi jualan untuk mengadakan pemeriksaan.

“Saya ingin mengingatkan pedagang, peruncit dan pembekal untuk tidak menaikkan harga selepas skim tersebut selesai. Skim ini akan berfungsi selagi semua pihak terlibat memainkan peranan mereka,” katanya. – 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen