Kilang banyak ditutup, KM Pulau Pinang nafi dakwaan MCA


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang masih menarik pelaburan asing bernilai RM5 bilion dan mewujudkan 10,000 pekerjaan setiap tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2019.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini menafikan dakwaan MCA bahawa kilang di negeri itu sudah ditutup dan beribu orang kehilangan pekerjaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang masih menarik pelaburan asing bernilai RM5 bilion dan mewujudkan 10,000 pekerjaan setiap tahun.

Beliau berkata setakat ini, Pulau Pinang hanya mengalami pengurangan ketara dalam jumlah kecil oleh beberapa syarikat dan tidak ada kilang ditutup.

“Secara purata, pelaburan baharu di Pulau Pinang mewujudkan 10,000 pekerjaan setiap tahun.

“Pulau Pinang mempunyai lebih 350 syarikat multinasional dan bilangannya meningkat setiap tahun sementara purata pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang (terutamanya daripada sektor E&E) adalah kira-kira RM5 bilion setahun.

“Di samping itu, kadar pengangguran Pulau Pinang hanya 2.1 pada 2017, yang kedua paling rendah dalam kalangan negeri. Kadar pengangguran Malaysia ialah 3.4% pada 2017,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas, Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dipetik dalam akhbar telah menimbulkan kebimbangan dengan menyatakan tujuh kilang elektrik dan elektronik (E&E) telah ditutup menyebabkan 5,245 orang kehilangan pekerjaan dari 2015 hingga Mac tahun ini.

Chow berkata, Tan cuba untuk mengitar semula berita lama dan memutar belit cerita dalam ulasannya mengenai industri pelaburan dan E&E Pulau Pinang. – 15 Mei, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen