Iran bertindak jika AS langgar perjanjian nuklear


Presiden Iran Hassan Rouhani mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang disifatkan tidak sesuai untuk didengarkan di PBB yang ditubuhkan untuk menggalakkan keamanan dan saling menghormati. – Gambar EPA, 21 September, 2017.

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani berkata, negaranya akan mempertahankan perjanjian nuklear Iran dan mungkin bertindak balas jika berlakunya pelanggaran perjanjian oleh Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindak balas terhadap ancaman Presiden AS Donald Trump yang Washington mungkin akan menarik diri dari perjanjian yang dicapai semasa era pentadbiran bekas Presiden Barack Obama.

Perjanjian nuklear itu dipersetujui pada Julai 2015 antara Iran dengan negara kuasa dunia iaitu Britain, China, Perancis, Rusia, AS serta Jerman.

“Adalah amat menyedihkan jika perjanjian itu dimansuhkan oleh seorang pendatang baharu dan ‘penyagak’ kepada dunia politik,” kata Rouhani.

Sebelum ini, Trump turut mengelar Iran sebagai sebuah negara “penyangak” dan perjanjian nuklear Iran sebagai “memalukan”.

Beliau berkata “kejahilan dan dakwaan tidak berasas” Trump, tidak sesuai untuk didengarkan di PBB yang ditubuhkan untuk menggalakkan keamanan dan saling menghormati.

Rouhani mengulangi keupayaan pertahanan Iran termasuk peluru berpandunya hanya untuk tujuan pencegahan dan tidak pernah berhasrat untuk memperoleh senjata nuklear. – Bernama, 21 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen