Siasatan pencemaran logam di Pulau Pinang masih berjalan, kata exco


Looi Sue-Chern

Beberapa organisasi bukan kerajaan lain sudah mendesak kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan mencari punca dan menghentikan pencemaran air di perairan Tanjung Bungah, Teluk Bahang dan Taman Negara Pulau Pinang selepas kes itu dibongkar media minggu lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2019.

PIHAK berkuasa Pulau Pinang masih menyiasat punca kehadiran logam berat dalam air di perairan utara negeri itu, kata Exco Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh.

Beberapa organisasi bukan kerajaan lain sudah mendesak kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan mencari punca dan menghentikan pencemaran air di perairan Tanjung Bungah, Teluk Bahang dan Taman Negara Pulau Pinang selepas kes itu dibongkar media minggu lepas.

Phee berkata pihak berkuasa sudah mula menyiasat pencemaran itu sejak bulan lepas lagi.

Tambahnya, dua lokasi dikesan mempunyai bacaan nikel yang tinggi.

“Kawasan Pantai Monyet? Mengapa dan bagaimana sedangkan tidak ada industri di situ,” katanya merujuk kepada pantai yang terletak dalam kawasan taman negara.

“Kawasan Tanjung Bungah…tidak ada pembuangan sisa penggalian daripada STP2 (tambakan tanah Seri Tanjung Pinang 2) sejak Januari.”

Jelasnya lagil, pihak berkuasa masih menyiasat sekiranya pencemaran itu disebabkan pembuangan sisa haram.

“(Seperti) Pada tahun 90-an apabila terdapat pembuangan sianida di kawasan laut berhampiran Pulau Aman,” katanya.

Sebelum itu, beliau memberitahu media yang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah diarahkan untuk mengenal pasti kilang di negeri itu yang menggunakan kandungan nikel yang tinggi dalam operasi mereka.

JAS juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk menyiasat kes kematian ikan di kawasan terlibat, katanya lagi.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris menggesa kerajaan negeri, JAS dan Jabatan Perikanan untuk mendedahkan hasil siasatan kes pencemaran itu.

“CAP bimbang dengan alam sekitar, kehidupan marin dan sumber pendapatan nelayan tempatan yang akan terjejas sekiranya masalah pencemaran itu berlarutan,” katanya.

Pencemaran itu terdedah selepas Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs) Universiti Sains Malaysia yang terletak di Teluk Bahang menemui kadar nikel setinggi 944% melebihi kadar normal dalam air di kawasan taman negara.

Nikel adalah logam berat digunakan dalam pelbagai industri pengeluaran produk termasuklah bateri, besi dan keluli.

Selain nikel, Cemacs turut mengesan kadar plumbum setinggi 184% berbanding kadar normal dan bacaan kadmium pula pada kadar 32% di atas paras normal. – 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen