.jpg)
MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai kenyataan awalnya bahawa penambahan jumlah pelajar matrikulasi daripada 25,000 ke 40,000 tidak akan menjejaskan peluang lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memasuki universiti awam.
Ini perlu dibuat memandangkan penempatan tambahan bagi matrikulasi dilihat sebagai cara penyelesaian jangka pendek yang sememangnya bakal memberi impak negatif yang lebih besar pada jangka panjang.
Kami meminta menteri pendidikan memberi penjelasan yang telus tanpa berdolak-dalik kerana sebarang dasar pendidikan yang dilaksanakan pasti mendatangkan kesan yang mendalam terhadap usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan untuk negara.
Persoalan kami:
Adakah Kementerian Pendidikan merancang untuk membina lebih banyak universiti awam? Jika ya, adakah universiti awam tersebut sempat dibuka pada tahun depan, bagi menampung kemasukan lulusan STPM yang mana peluang mereka untuk memasuki universiti awam sudah dirampas?
Adakah kerajaan bercadang meningkatkan pengambilan universiti awam sedia ada? Jika ya, adakah universiti awam ini sudah bersedia dari segi tenaga pengajar serta peralatan pendidikannya? Jika tidak, standard universiti awam pastinya akan terjejas, dan mungkin terpaksa dikorbankan.
Sekiranya benar seperti kata menteri pendidikan bahawa peluang lulusan STPM untuk memasuki universiti awam tidak terjejas, dengan tiadanya penambahan bilangan universiti awam ataupun pengambilannya, adakah ini bermaksud peluang memasuki universti awam bagi lebihan 15,000 pelajar matrikulasi ini akan dikorbankan?
Kami memohon Kementerian Pendidikan supaya memberi penjelasan yang telus, bukan bersikap acuh tak acuh.
Janganlah membiarkan para pelajar ternanti-nanti, terutamanya mereka yang berasal dari keluarga miskin, memandangkan semester baharu akan bermula tidak lama lagi. – 14 Mei, 2019.
* Ng Sing Phing adalah pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Pemuda MCA Kebangsaan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen