Graduan Bahasa Inggeris akan diambil jadi guru


Nabihah Hamid Andrew Chin Ragananthini Vethasalam

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata graduan universiti swasta akan diserap sebagai guru Bahasa Inggeris terlatih di sekolah kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

GRADUAN universiti swasta akan diserap sebagai guru untuk mengatasi masalah kekurangan guru Bahasa Inggeris terlatih di sekolah kebangsaan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata kerajaan akan “memujuk” mereka menyertai perkhidmatan awam.

Beliau bagaimanapun mengakui usaha itu hanyalah penyelesaian sementara masalah tersebut.

Sebaliknya, sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan akan meningkatkan latihan untuk melahirkan lebih ramai guru Bahasa Inggeris yang mahir pada masa depan, katanya.

“Kita sedang menambah kemahiran guru dan cuba menarik mereka yang belajar Bahasa Inggeris untuk jadi guru,” kata Maszlee dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

Pada November lalu, Maszlee memberitahu Dewan Rakyat, terdapat 2,615 kekosongan untuk guru Bahasa Inggeris di sekolah.

Daripada jumlah itu, 1,557 kekosongan ialah di sekolah rendah sementara baki 1,058 di sekolah menengah.

Kekurangan ini timbul akibat bilangan guru bersara wajib dan pilihan yang meningkat, perubahan kokurikulum serta pertambahan jumlah minit pengajaran subjek Bahasa Inggeris pada sesi persekolahan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim sebelum ini mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem aliran Bahasa Inggeris di setiap negeri.

Katanya, usaha itu akan turut menyelesaikan kekurangan guru Bahasa Inggeris di seluruh negara. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen