Tunggu laporan jawatankuasa UEC, kata Maszlee


Andrew Chin Nabihah Hamid Ragananthini Vethasalam

Menteri Pendidikan Maszlee Malik enggan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status UEC yang akan dibentangkan pada Julai ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menggesa semua pihak supaya menunggu laporan mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) siap dan dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum berbahas lanjut mengenainya.

Maszlee memberitahu The Malaysian Insight beliau sendiri pun tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai status UEC, sementara menunggu laporan Pasukan Petugas Dasar UEC dibentangkan pada Julai ini.

“Kabinet putuskan bahawa pasukan petugas itu akan bertemu dengan semua pemegang taruh untuk mendapatkan maklumat yang kemudian akan dibentangkan dalam laporan pada Julai,” katanya.

“Jadi sehingga Julai, saya tidak boleh buat sebarang komen atau keputusan mengenainya.”

Veteran DAP Lim Kit Siang sebelum ini berkata Putrajaya akan mengiktiraf UEC, yang sekarang dipakai bagi sekolah menengah persendirian aliran Cina, sebelum tamat mandat Pakatan Harapan.

Maszlee bagaimanapun berkata beliau tidak boleh memberi jaminan sama, merujuk sekali lagi pada tugas jawatankuasa khas itu menjelang Julai ini.

“Saya kena tunggu laporan. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka.”

Pasukan Petugas Dasar UEC diketuai aktivis budaya dan bekas wartawan Eddin Khoo serta Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Yan Yew Sing.

Pasukan itu ditubuhkan hasil keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Ogos tahun lepas dan anggotanya dilantik pada 29 Oktober berikutnya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan di bawah sistem sekolah menengah persendirian aliran Cina dan tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Aktivis dan nasionalis Melayu sejak sekian lama menolak pengiktirafan ke atas UEC kerana melihatnya hambatan kepada perpaduan kaum dan ancaman ke atas kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen