Laporan audit syor pegawai Hisham, bekas panglima disiasat


Chan Kok Leong

Setiausaha politik kepada bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein dan seorang bekas panglima tentera didakwa mempengaruhi keputusan untuk membina kem tentera di Paloh sebelum PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2019.

SEORANG bekas panglima tentera dan pegawai kepada Hishammuddin Hussein dinamakan dalam laporan kerajaan, kerana menggunakan pengaruh mereka memindahkan satu projek kepada pembinaan kem tentera di Paloh, Johor untuk mendapatkan bank undi bagi bekas menteri pertahanan itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Laporan khas audit berkenaan pertukaran tanah di Kementerian Pertahanan (Kementah) yang dilihat The Malaysian Insight, menunjukkan Kem Paloh dibina bagi membantu Barisan Nasional (BN) kekal di kerusi Paloh di Sembrong. Hishammuddin ialah ahli Parlimen Sembrong.

Laporan itu menamakan bekas panglima angkatan tentera Raja Mohamad Affandi Raja Mohamad Noor dan setiausaha politik Hishammuddin, Onn Hafiz Ghazi kerana campur tangan dalam projek itu.

Campur tangan politik itu membawa kepada menukar keputusan untuk memindahkan pembinaan infrastruktur di Port Dickson kepada membina kem di Paloh.

Menurut laporan itu, bila Kabinet bersetuju untuk menswastakan Kem Kinrara pada Disember 2012, pemaju dibina membina pusat latihan logistik untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Negeri Sembilan dan pangkalan tentera di Port Dickson.

Penilaian kerajaan untuk tanah di Kinrara seluas 94.12 ekar untuk pajakan 99 tahun pada Mei 2015 ialah RM567 juta walaupun kos pembangunan untuk pusat latihan TUDM dan pangkalan baharu tentera hanya menelan kos RM316 juta.

Pasukan audit percaya tidak akan ada Kem Paloh jika tiada campur tangan politik kerana infrastruktur di Port Dickson lebih mendesak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2019.

Walaupun Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) mencadangkan nilai pertukaran tanah itu sepatutnya ditetapkan RM758 juta pada September 2015, pemaju berpendapat nilai itu terlalu tinggi dan merayu tiga kali untuk ia direndahkan, kata laporan itu.

Susulan itu, kerajaan bersetuju merendahkan penilaian kepada RM500 juta. Memandangkan kos asal untuk infrastruktur di Sendayan dan Port Dickson hanya RM316 juta, kedua-dua pihak membuat keputusan baki RM184 juta akan digunakan untuk membangunkan lebih banyak kemudahan.

Tetapi sebelum kontrak itu dapat dimuktamadkan, Kementah memutuskan untuk menggugurkan rancangannya membina infrastruktur di Port Dickson, sebaliknya membina kem baharu di Paloh.

“Pada 16 Februari, 2016 setiausaha politik menteri pertahanan (Onn Hafiz Ghazi) memberitahu Kementah (dalam satu memo) bahawa sekretariat Parlimen Sembrong mencadangkan duit tambahan daripada penswastaan Kem Kinrara akan digunakan untuk membina kem baharu di Paloh.

“Minit mesyuarat oleh setiausaha agung di memo itu menunjukkan: ‘Saya sudah bercakap pada Onn. Beliau bersetuju untuk menyediakan kertas kerja dan perbincangan lanjutan’,” menurut laporan itu.

Surat-menyurat kemudiannya di Kementah berkenaan Kem Paloh menjelaskan bahawa cadangan itu adalah salah satu strategi bagi memastikan majoriti lebih tinggi di kerusi Paloh.

Ia mencadangkan 500 anggota tentera akan dipindahkan dari Kem Mahkota ke Kem Paloh sebelum PRU14. Kedua-duanya Paloh dan Mahkota berada dalam daerah Kluang.

Susulan itu, Kementah mengeluarkan dua surat antara Januari dan April 2017, mengarahkan pemaju mendapatkan 62 ekar tanah di Kluang untuk membina Kem Paloh walaupun kontrak akhir masih belum ditandatangani.

Kontrak pertukaran tanah itu masih tidak ditandatangani sehingga Oktober 2018.

“Bertindak atas arahan, pemaju itu membeli tahan berkenaan pada Julai 2017 pada harga RM10.4 juta dan memulakan pembinaan tujuh daripada 29 blok bangunan. Kementah mahu bangunan itu siap menjelang 31 Ogos, 2017.”

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada Khamis lepas membentangkan laporan audit khas berkenaan pertukaran tanah di kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2019.

Laporan itu berkata pemaju mula bekerja pada 3 Julai, 2017 walaupun perintah pembangunan tempatan hanya dikeluarkan pada 4 Julai, 2017. Pada 26 Julai, pemaju siap 98.41% daripada tujuh bangunan pertama.

“Tetapi rancangan untuk memindahkan pengundi dari Kem Mahkota ke Kem Paloh gagal kerana bangunan itu tidak dapat disiapkan mengikut masa dan tidak ada bekalan air dan elektrik ke kem berkenaan,” kata laporan itu.

Antara syarat diperlukan sebelum pengundi tentera boleh berpindah ke kem baharu termasuk mempunyai rumah pengawal dan berek yang beroperasi, pagar perimeter, dapur dan unit stor senjata.

“Meneliti kronologi (bertarikh dari 2011), projek itu didorong oleh kontraktor kerana ia bukan dalam pelan pertahanan strategik Kementah.

“Oleh itu tidak mengejutkan bila berlaku masalah dengan skop tugas dan lokasi pembangunan itu,” kata laporan.

“Selepas perbincangan kami dengan pegawai Kementah, pasukan audit percaya tidak akan ada Kem Paloh jika tiada campur tangan politik kerana infrastruktur di Port Dickson lebih mendesak.

“Kem Mahkota di Kluang juga ada tanah tambahan yang boleh digunakan untuk lebih banyak kemudahan. Lebih pun, tanah dan bangunan di Kem Mahkota tidak digunakan dan jadi rosak,” kata laporan itu.

Audit khas itu, yang diketuai Ambrin Buang mengesyorkan tanah Kinrara sepatutnya dinilai semula dan surplus daripada projek itu perlu dimasukkan ke dalam akaun kerajaan.

“Jika kerajaan tidak dapat mengadakan rundingan semula dengan pemaju, ia sepatutnya ada tender terbuka bagi projek itu.”

Jawatankuasa audit itu menggesa kerajaan untuk menyiasat Raja Mohamad Affandi, bekas ketua setiausaha (KSU) Kementah Abdul Rahim Mohamad Radzi dan bekas timbalan ketua setiausaha Zaiton Johar kerana mengarahkan pemaju memulakan projek sebelum kontrak ditandatangani.

Jawatankuasa itu juga mahu kerajaan menyiasat Onn kerana mengeluarkan memo kepada Kementah berkenaan pembinaan Kem Paloh dan mempengaruhi keputusan kementerian.

Laporan audit khas berkenaan pertukaran tanah di kementerian itu dibentangkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada Khamis lepas dan akan dimuat naik di laman web Kementah.

Terdahulu, Mohamad mendedahkan 16 pertukaran tanah berlaku ketika pentadbiran BN yang menyebabkan kerajaan rugi lebih RM500 juta.

Pertukaran tanah itu termasuk di Jalan Ampang di Kuala Lumpur, Tanah Batu Uban di Pulau Pinang, Bukit Raja di Selangor, Plentong di Johor, Tanah Rata di Pahang, Bandar Kinrara di Selangor dan Stampin di Sarawak. – 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen