Polis patahkan cubaan cetus keganasan, 4 suspek ditahan 


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, salah satu objektif utama kumpulan itu adalah membalas dendam atas kematian Muhammad Adib. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Mei, 2019

EMPAT suspek pengganas yang merancang untuk melakukan serangan pada Ramadan - termasuk membunuh beberapa orang individu berprofil tinggi dan menyerang rumah ibadat - diberkas dalam beberapa siri operasi yang dijalankan minggu lalu.

Mereka merupakan penyokong kumpulan militan IS, juga mahu membalas dendam atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang mengalami cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Selangor pada November lalu.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, keempat-empat mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM di pelbagai lokasi sejak awal Mei lalu.

“Salah satu objektif utama kumpulan itu adalah membalas dendam atas kematian Muhammad Adib.

“Kesemua empat suspek telah menyatakan kesetiaan mereka terhadap kumpulan militan IS.

“Mereka merancang untuk membunuh individu berprofi tinggi yang identitinya kami tidak dapat dedahkan kerana terlalu sensitif.

“Kumpulan itu turut merancang untuk melakukan serangan bom ke atas premis hiburan dan rumah ibadat di Lembah Klang ketika Ramadan.

“Kita turut merampas enam bahan letupan yang diubahsuai (IED) daripada salah seorang suspek,” kata Hamid pada sidang media.

Beliau berkata, operasi dijalankan pada 5 Mei dan 7 Mei.

“Lelaki pertama yang ditahan pada 5 Mei merupakan dalang. Dia ditahan di Kuala Berang, Terengganu. Lelaki berkenaan merancang untuk meletupkan kuil dan gereja serta premis hiburan.

“Kami turut merampas sepucuk pistol dan enam IED. Bom berkenaan diseludup dari negara jiran.

“Penahanan kedua dibuat pada 7 Mei di Kuala Lumpur, yang mana kami menahan seorang lelaki Rohingya yang memiliki status pelarian. Lelaki ini mengaku menyokong Arakan Rohingya Salvation Army dan berniat untuk menyerang kedutaan Myanmar.

“Penahanan ketiga dibuah pada hari yang sama di Subang Jaya yang mana kami menahan seorang lelaki Indonesia, dan penahanan terakhir di Jalan Klang Lama melibatkan lelaki Rohingya berusia 27 tahun.

“Kesemua empat suspek berkomunikasi melalui WhatsApp dan mereka menerima arahan daripada warga Malaysia yang masih berada di Syria,” kata Hamid.

Beliau kemudian berkata, kumpulan empat lelaki berkenaan ditubuhkan pada Januari.

Tambah Hamid, polis kini sedang mengesan tiga lagi ahli kumpulan terbabit yang dipercayai bersembunyi.

“Kami sedang mengesan tiga lagi lelaki. Mereka adalah dari kumpulan ini. Kami sedang mencari Syazni Mahzan dari Bidong Kedah, Nurul Azim Azizan juga dari Bidong Kedah dan warga Indonesia Fathir Thir, namun alamat terakhirnya adalah di Banting Selangor,” katanya.

Keempat-empat suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas). – 13 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen