Bersatulah semua parti politik Melayu


SERUAN Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya orang Melayu bersatu wajib diberi perhatian serius dan tindak balas positif oleh semua pemimpin Melayu.

Ia seruan suci yang berteraskan ajaran Islam yang sewajibnya diterima baik oleh semua pihak. Ia merupakan satu “wake up call”. Ia tidak boleh dilengahkan lagi demi kesepaduan dan kesetabilan masa depan negara.

Kebebasan akhbar, kelonggaran undang-undang terhadap media dan kemunculan social media yang pelbagai membuka peluang untuk rakyat bersuara dengan bebas.

Malangnya, mutakhir ini kita menyaksikan peluang kebebasan bersuara disalahgunakan untuk mengkritik, merendah-rendahkan martabat dan kedudukan bangsa Melayu, agama Islam dan Raja Raja Melayu.

Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan status agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan dikecam dan dikritik sehinggakan orang Melayu merasakan maruah mereka tercabar dan dihina di negara sendiri.

Kesedaran untuk bangkit semula dan mempertahankan maruah bangsa dan agama kini mula dirasai.

Kerjasama Umno-PAS membuka peluang baru yang orang Islam telah cita-citakan untuk menjadi kenyataan tetapi terhalang oleh pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Dengan keresahan dan persepsi kehilangan kuasa di kalangan orang Melayu, reaksi kaum Melayu amatlah jelas iaitu mereka mahu supaya semua parti politik Melayu bersatu.

Hal ini terbukti melalui pola pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau yang  jelas menunjukkan pengundi pengundi Melayu mula membentuk konsensus baru ke arah satu naratif penyatuan bagi menentang penghinaan terhadap bangsa dan agama.

Pencapaian positif di semua PRK tersebut memberi petunjuk yang jelas bahawa usaha sama yang lebih erat perlu disambut baik oleh semua pemimpin parti politik Melayu Islam dan pribumi bagi mencapai formula penyatuan yang lebih konkrit dan berakar tunjang serta berlandaskan ajaran Islam merupakan satunya option yang ada.

Banyak faktor yang memungkinkan kaum Melayu dan pribumi menjadi lemah. Faktor yang paling menonjol adalah perpecahan yang ketara dalam banyak parti politik.

Keadaan ini menyebabkan suara politik Melayu sama ada di Parlimen, Dewan Undangan Negeri atau di mana mana jua lemah dan tidak dihormati.

Penguasaan kaum Melayu ke atas pemerintahan negara pada ketika ini sangatlah rapuh. Ini adalah kerana tiadanya parti Melayu yang dominan dalam kerajaan.        

Oleh itu, demi masa depan bumi tercinta ini,demi kedaulatan Islam dan Raja Raja Melayu, dan demi keutuhan Melayu dan pribumi, QIAM menyeru semua pemimpin parti politik Melayu supaya ketepikan sifat ego masing-masing dan bersatulah di bawah payung yang sama secepat mungkin.

Masa amat suntuk bagi kita. Letaklah alif ba ta (agama, bangsa dan tanah air) mengatasi segala kepentingan.

Usaha kerjasama dan penyatuan Umno PAS  yang mula menampakkan hasilnya harus disokong dan dipuji. Semoga usaha ini menjadi mantap dan merangkumi parti parti politik Melayu lain juga.

Sedarlah bahawa kaum Melayu dan pribumi punyai cukup ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Malangnya usaha Umno-PAS ini baru-baru ini diselar oleh seorang pemimpin politik yang menganggap pakatan itu sebagai “isytihar perang ke atas bukan Bumiputera”. Cetek betul!

Jika inilah takrifan beliau, bolehkah kita takrifkan bahawa kaum Cina terlebih dahulu mengisytihar perang ke atas kaum Melayu apabila mereka bersatu di bawah DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)?

Sesungguhnya penyatuan kaum Melayu dan pribumi dalam membentuk pemerintahan yang dominan pribumi harus disokong bukan sahaja oleh kaum Melayu tetapi juga oleh pihak bukan Melayu.

Ini kerana Melayu dan pribumi adalah kaum asal di bumi ini yang juga membentuk  hampir 70% penduduk Malaysia.

Mereka tentunya menjadi paksi kepada perpaduan nasional. Dengan cara ini barulah semua kaum dapat hidup aman damai dan membangunkan sebuah negara yang maju dan aman damai. – 13 Mei, 2019.

* Sirajuddin Salleh adalah presiden Pertubuhan Gerakan Qiam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen