Antara persepsi dan kebenaran


SUDAH setahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Pelbagai kad laporan, forum dan temu ramah yang dihidangkan kepada rakyat memberi penilaian terhadap prestasi PH dan rata-ratanya, rakyat serta pihak NGO dan sebagainya adalah kritikal terhadap prestasi PH.

Rakyat dan pihak NGO berat mulut untuk memberi pujian yang berlebih-lebihan walaupun terdapat perubahan yang signifikan di sesetengah ruang.

Walaupun dibanjiri kritikan, namun PH tidak memberi respons secara negatif terhadap penilaian ini, dan adapun, tidak bersikap mempertahankan diri.

Malah, PH terus mengorak langkah positif ke arah pembaharuan institusi dengan pengumuman penubuhan IPCMC yang diusulkan 15 tahun yang lepas.

Dalam kehangatan penilaian PH semalam, ada juga kekecohan di media sosial tentang penyiaran program Analisis oleh TV Al-Hijrah berkaitan tajuk “Islam Dibuli PH”.

Banyak yang diperkatakan dan didebatkan tentang penyiaran ini dan lanjutan daripada program tersebut, ada sebuah artikel oleh Isma tulisan Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Oxford Centre for Islamic Studies yang memberi contoh insiden yang berlaku menunjukkan Islam dan kaum Muslimin kelihatan ditekan.

Salah satu daripadanya ialah:

“Tindakan YB Hannah Yeoh yang memberikan sumbangan kepada Sisters in Islam (SIS) dilihat menjadi isu sensitiviti di kalangan Muslim. Ini kerana, SIS diwartakan sesat dan menyeleweng oleh Majlis Agama Islam Selangor.

“Tindakan Hannah itu dilihat seakan memberikan sokong terhadap kumpulan yang telah diisytiharkan sebagai mengamalkan pemikiran liberal yang bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan oleh MAIS.”

Ini diikuti oleh poster yang diedarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar yang mengangkat mesej yang sama oleh Sanusi dengan kenyataan iaitu:

“Pertubuhan yang difatwakan sesat dan menyeleweng, SIS mendapat peruntukan RM20,000 dengan alasan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin membantu’‘wanita Islam’. SIS terkenal sebagai sebuah pertubuhan feminis liberal tegar yang sering mengelirukan masyarakat.”

Daripada kenyataan ini, nampaknya orang Islam harus dijaga sensitiviti mereka dari apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan PH yang ingin menyokong kerja baik SIS untuk wanita Islam atas dasar SIS difatwakan sebagai sesat, adalah liberal, feminis dan sentiasa mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya ialah, SIS pun sensitif juga.

Kami sensitif kepada:

* Penderitaan isteri yang mengalami keretakan rumah tangga dan sukar untuk mendapatkan keadilan bagi diri mereka dari segi perceraian sehingga ramai yang gantung tak bertali bertahun-tahun.

* Penderitaan anak-anak mereka dari segi nafkah anak bila ayah mereka langsung tidak memberi atau tidak cukup pemberian nafkah yang diarahkan mahkamah.

* Perasaan dan pengalaman isteri-isteri yang tidak mendapat layanan yang adil daripada segi perkahwinan poligami.

* Perit kesakitan yang dirasai isteri ditimpa keganasan rumah tangga bukan saja fizikal, mental, kewangan, sosial dan emosi tapi juga daripada segi kekerasan seksual dalam rumah tangga,

* Kehilangan suara anak-anak yang tidak berdaya untuk menolak perkahwinan yang kononnya akan menyelamatkan hidup mereka walaupun mereka telah diperkosa oleh bakal suami.

* Tenggelamnya suara perempuan yang tidak dapat membuat keputusan untuk kebaikan diri mereka kerana mereka tidak dianggap sebagai penting dan saksama sebagai ahli keluarga dan harus akur kepada keputusan orang lain.

Natijahnya ialah ramai orang lebih senang memegang persepsi bahawa SIS ini adalah sesat, feminis, liberal, menyeleweng dan mengelirukan masyarakat.

Hakikatnya ialah SIS pejuang hak wanita Islam. Itu fakta. Dan semua persepsi dalam dunia ini tidak akan mengubah kebenaran itu. – 13 Mei, 2019

* Rozana Isa ialah pengarah eksekutif SIS.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen