Patriot desak siasat menteri pertahanan dari 1997 hingga 2018


Pengerusi Patriot Mohamed Arshad Raji berkata Hishammuddin Hussein yang menjadi menteri pertahanan dari 2013 hingga 2018 perlu memikul tanggungjawab utama dalam skandal tukar tanah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2019.

PUTRAJAYA perlu menyiasat secara terperinci terhadap semua menteri pertahanan terdahulu yang berkhidmat dari 1997 hingga 2018 dalam siasatannya berhubung skandal urus niaga pertukaran tanah, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).

Pengerusinya Mohamed Arshad Raji berkata Hishammuddin Hussein yang menjadi menteri pertahanan dari 2013 hingga 2018 perlu memikul tanggungjawab utama dalam skandal pertukaran tanah itu kerana ia berlaku ketika beliau berkhidmat.

Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan diketuai oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang, dibentangkan di Dewan Negara minggu lalu mendedahkan kerugian dan ketirisan menerusi 16 projek tukar tanah membabitkan 1,186 hektar tanah tentera menyebabkan kerajaan menanggung kos lebih RM500 juta.

Ia turut melaporkan 13 daripada 16 urus niaga tukar tanah itu membabitkan Hishammuddin dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam pendedahan skandal itu, Hishammuddin menafikan beliau secara peribadi menerima manfaat daripada urus niaga itu, dan mencabar Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong membuktikan pembabitannya.

“Ia berlaku ketika beliau jadi menteri pertahanan, sama ada secara peribadi menerima manfaat atau tidak. Ia sesuatu yang sangat memalukan,” kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata penyiasat anti rasuah juga perlu menyiasat rekod lama, iaitu sebelum Hishammuddin menjadi menteri pertahanan.

“Sama ada Hishammuddin secara langsung mendapat manfaat daripada urus niaga itu, terserah pada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.

“Semua menteri pertahanan yang berkhidmat dari 1997 hingga Mei 2018 perlu disiasat jika ada kecurigaan, dan tindakan kena diambil terhadap pegawai yang gagal memastikan urus niaga pertukaran tanah itu dijalankan mengikut SOP,” katanya.

Sebanyak 16 pertukaran tanah itu didakwa berlaku di Jalan Ampang di Kuala Lumpur Tanah Batu Uban di Pulau Pinang, Bukit Raja di Selangor, Plentong di Johor, Tanah Rata di Pahang, Bandar Kinrara di Selangor dan Stampin di Sarawak.

Menurut Mohamad, banyak percanggahan dalam urus niaga itu termasuk jualan tanah pada harga lebih rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju yang tidak layak.

Beliau turut menafikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terbabit dalam urus niaga itu ketika masih berada dalam kerajaan Barisan Nasional. – 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen