Taufan Maria landa Puerto Rico  


Tufan Maria telah pun menyebabkan dua kematian ketika melalui kawasan kepulauan Carribean dan kini menuju ke Puerto Rico. – Gambar EPA, 20 September, 2017.

TAUFAN Maria landa Puerto Rico pada Rabu, menyebabkan kerosakan di wilayah Amerika Syarikat selepas membunuh sekurang-kurangnya dua orang ketika melalui kepulauan Carribean.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran “gelombang besar yang mampu memusnahkan” apabila taufan itu menghampiri kawasan Yabucoa di pesisir tenggara.
   
Gabenor Puerto Rico Ricardo Rosello memberitahu penduduk untuk sedia berdepan dengan “taufan yang terburuk sejak abad lalu”, membuka 500 pusat perlindungan yang memberi kemudahan kepada 67,000 orang.

“Angin berbunyi seperti suara perempuan menjerit dari dalam paru-paru mereka!” kata jurugambar dan pemburu ribut Mike Theiss menerusi Twitter miliknya ketika taufan melanda.

“Kami dihentam terusk ketika ini.”

Penduduk di Puerto Rico membuat persediaan bagi menghadapi ribut itu dengan menutup tingkap kediaman mereka dengan papan dan membeli barangan keperluan di saat akhir ketika taufan itu semakin menghampiri pulau yang mempunyai 3.5 juta penduduk itu.

“Puerto Rico kini dilanda taufan gergasi terbaru,” tweet Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. 

“Berhati-hati, kami sentiasa bersama anda - akan ke sana untuk membantu!”

Taufan Maria yang melanda kawasan itu dikategorikan sebagai taufan Kategori Empat melalui skala Saffir-Simpson, yang membawa angin berkelajuan 155 batu sejam (250 kilometer sejam).
 
Kepulauan Virgin milik AS dan Britain yang kini masih bertungkus lumus untuk pulih daripada kesan taufan Irma - turut mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya di kawasan kepulauan Turks dan Caicos dan sebahagian daripada Republik Dominica. 

Taufan Maria telah pun melalui beberapa kepulauan Caribbean, menyebabkan dua orang maut di Wilayah Perancis, Guadeloupe dan menyebabkan kerosakan teruk di kepulauan Dominica. – AFP, 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen