ORANG Melayu akan terus membangkitkan tragedi 13 Mei 1969 kalau ada pihak terus mencabar kedudukan Islam dan hak keistimewaan Bumiputera di Malaysia, kata parti dan pertubuhan Melayu dan Islam.
Kata mereka, amaran tentang 13 Mei itu bukan ancaman tetapi dibuat atas rasa sayangkan negara, tidak mahu tragedi antara kaum yang mengorbankan nyawa itu berulang.
Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Rafii mendakwa, sejak Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya, kerajaan melakukan banyak perubahan dasar yang mengikis kuasa Melayu dan kesucian Islam.
“Apa yang berlaku pada hari ini, banyak perubahan polisi yang dibuat oleh Pakatan Harapan menjurus kepada penghilangan kuasa Melayu dan cuba menjejaskan kesucian Islam,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Razlan percaya perubahan dasar yang menjejaskan Melayu dan Islam itu dipengaruhi oleh DAP, yang kini sebahagian daripada kerajaan.
Peringatan tentang 13 Mei itu juga ditujukan hanya kepada DAP, dan bukan masyarakat Cina keseluruhannya.
“Tiada perkara sebegini selain daripada 13 Mei yang disebabkan oleh DAP yang cuba menghalau orang Melayu Islam daripada Kuala Lumpur,” katanya.
Pada 13 Mei, kekacauan antara kaum meletus di Kuala Lumpur menyebabkan ratusan orang terbunuh.
Sejarawan berbeza pendapat mengenai punca insiden tercetus namun banyak pihak sepakat ia jurang ekonomi antara kaum antara sebab utama.
Presiden Isma Aminuddin Yahaya berkata, sejarah negara perlu sentiasa diingatkan kerana ada usaha oleh pihak tertentu yang cuba ‘memadam’ sejarah ratusan tahun negara – sebelum kedatangan Cina dan India ke Tanah Melayu.
“Hari ini ada yang cuba untuk memberhentikan sejarah kita, seolah-olah bermula sejak merdeka sedangkan sejarah negara kita bermula sejak ratusan tahun dahulu.
“Kita jangan ketepikan sejarah kerana sejarah ini adakalanya berulang balik. Kita mahu rakyat faham sejarah dahulu, bagaimana implikasinya, jadi kita minta semua pihak bukan sahaja orang Melayu Islam sahaja, bangsa lain juga tidak cuba mengapi-apikan semula,” katanya.
Menurut Aminuddin, tragedi 13 Mei perlu diperingati dalam konteks untuk mengharmonikan hubungan antara kaum dan bukannya mengapikan sentimen.
“Kita hendak pastikan perkara ini tidak berlaku lagi di masa depan. Kalau banyak sangat pihak tertentu itu menekan Islam, orang Melayu dan sebagainya, kita bimbang perkara itu lama-lama akan menjadi satu bentuk tindak balas.
“Bila dibangkitkan soal 13 Mei bukan bermaksud ancaman tetapi ketegasan dan peringatan. Ancaman ini membawa dalam satu bentuk tindakan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perkasa Ibrahim Ali menyifatkan tragedi 13 Mei bukan lagi isu sekiranya DAP tidak menjadikan ‘Malaysian Malaysia’ yang bermaksud Malaysia sama rata sebagai agenda parti itu.
Jelasnya, dasar sama rata ini bertentangan dengan kedudukan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Perkara 153 dan juga Perkara 181 mengenai kedaulatan raja-raja.
“13 Mei berlaku disebabkan ekonomi. Selepas terjadinya 13 Mei, diwujudkan Rukunegara, dilancarkan Dasar Ekonomi Baru, berjalan dengan elok, tiada apa berlaku.
“Tetapi ada satu parti ini, DAP dengan dasar ‘Malaysian Malaysia’ yang kalau kita terjemahkan bermaksud Malaysia sama rata.
“Sepatutnya tidak timbul lagi soal 13 Mei ini. Ini menunjukkan bahawa negara kita gagal dari segi perpaduan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Tambah Ibrahim, penubuhan Perkasa adalah untuk memperjuangkan hak orang Melayu supaya dapat sama bersaing dengan kaum lain terutamanya dalam bidang ekonomi.
“Ini semua soal keselamatan negara. Dalam deklarasi di PBB pun disebut mana sahaja negara yang apabila kaum asal majoritinya miskin, dia mesti melaksanakan agenda afirmatif sehingga pembahagian ekonomi adil. Kalau tidak negara jadi huru hara.
“Saya melihat apabila dibangkitkan soal 13 Mei sebagai langkah pencegahan dan bukannya memberi amaran atau ancaman kepada kaum lain,” katanya.
Elit politik
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Shamsul Amri Baharuddin menyifatkan hanya golongan elit yang berada dalam keadaan selesa membangkitkan semula 13 Mei atas faktor kuasa politik dan bukannya soal ekonomi ataupun keselamatan negara seperti yang dihujahkan.
Hujah golongan ini, kata Shamsul, tidak memberi kesan kepada majoriti masyarakat dari kumpulan B40 di bandar yang lebih memberi tumpuan kepada mobiliti sosial melalui pendidikan untuk masa depan anak-anak.
Beliau mengakui 13 Mei adalah satu trauma sosial untuk semua kaum di Malaysia, namun realitinya hanya orang Melayu dan Cina di Kuala Lumpur yang benar-benar merasai kesan 13 Mei.
“Orang Utara, Selatan, Pantai Timur, Sarawak dan Sabah hanya bermain dengan naratif mental mengenai 13 Mei, melalui cerita-cerita buah mulut.
“Maka kelompok B40 di bandar tidak heboh-heboh tentang 13 Mei. Hanya kelompok elit Melayu dan Cina yang sering menyentuh hal 13 Mei untuk kepentingan politik masing-masing.
“Sama saja elit Melayu salahkan Cina yang rasis, elit Cina kata Melayu nak perang. Memperingat sesuatu bagus. Tapi yang menerima ingatan tak selesa,” katanya.
Tambah Shamsul, beliau yakin rakyat sekarang lebih rasional dan percaya bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan kekerasan sebagai satu pilihan untuk bertindak balas. – 13 Mei, 2019.
Komen