Bot karam, dua lelaki dilaporkan hilang


Desmond Davidson

Dua lelaki berusia antara 45 dan 60 tahun dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di Tasik Empangan Bakun di Belaga, Sarawak semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

Dua lelaki berusia antara 45 dan 60 tahun dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di Tasik Empangan Bakun di Belaga semalam.

Dua lagi rakan mangsa berjaya berenang menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak di Kuching berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4 petang semalam tetapi pasukan keselamatan tiba di Belaga pada jam 7 petang.

Menurutnya, selepas melakukan perbincangan dengan pihak polis mengenai kes itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dilakukan bermula hari ini disebabkan lokasi yang jauh selain terpaksa menggunakan bot untuk ke tempat kejadian.

Pasukan keselamatan perlu mengambil masa perjalanan sejauh lapan jam melalui Sungai Rajang untuk sampai ke empangan.

Jabatan itu berkata, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada komander operasi SAR, Ketua Stesen Bintulu Mohamad Meramit berkata, empat lelaki itu dalam perjalanan menangkap ikan menggunakan sebuah bot dengan enjin outboard 60hp.

Mereka berlepas dari jeti Empangan Bakun untuk memancing di Ulu Balui Bato Keling yang mengambil masa perjalanan sejauh dua jam setengah.

Jabatan bomba tidak dapat mengenal pasti punca bot berkenaan terbalik berikutan cuaca dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun dipercayai sebab arus sungai yang deras, bot dinaiki mereka dikatakan telah karam,” katanya.

Salah seorang mangsa yang terselamat mendakwa arus air di lokasi berkenaan terlalu deras.

Jabatan turut memaklumkan komunikasi dengan pasukan SAR sukar berikutan liputan yang tidak baik. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen