Bonus pegawai didakwa hingga RM400,000 sejak dulu, kata Yapeim


Diyana Ibrahim

Yapeim dilaporkan membayar gaji dan bonus tinggi terhadap pengurusan kanannya, tetapi menurut pegawai ia sudah dilakukan sejak sekian lama dan tidak melibatkan dana anak yatim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

BAYARAN bonus dan insentif tinggi kepada pegawai kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sememangnya ditetapkan dalam skim perkhidmatan, kata pegawainya.

Bayaran bonus atau insentif tersebut juga tidak melibatkan dana amal jariah untuk anak yatim tetapi daripada hasil pelaburan, kata Ketua Bahagian Perundangan Yapeim Adawiyah Abdul Samad.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight mengenai bayaran tinggi itu, yang didakwa tidak munasabah bagi sebuah agensi berorientasi amal jariah seperti Yapeim.

“Bayaran tertakluk daripada skim polisi dan perkhidmatan Yapeim. Ini sudah ada sejak dulu.

“Kalau bayaran tinggi pun itu semua mengikut skim polisi tersebut. Jadi pendapat Yapeim, laporan tersebut adalah salah,” kata Adawiyah dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur.

Pemimpin dan pengurusan kanan badan yang ditubuh kerajaan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam itu dilaporkan menerima bonus tahunan setinggi RM250,000 hingga RM400,000.

Ia berdasarkan satu laporan penstrukturan semula yayasan itu, yang diperolehi oleh The Malaysian Insight.

Laporan berkenaan juga mendakwa, bonus atau insentif tersebut dibayar tanpa melalui kelulusan lembaga pemegang amanah (LPA).

Menurut dokumen tersebut, LPA hanya berperanan meluluskan bayaran sedangkan keputusan berkenaan telah  dibuat di peringkat pengurusan Yapeim.

Mengulas perkara itu, Adawiah berkata kesemua bayaran bonus perlu diluluskan pemegang amanah sebelum diagihkan kepada kakitangan.

“Proses ini perlu datang daripada (LPA). Jika lembaga luluskan, barulah kita boleh agihkan bonus tersebut,” katanya.

Laporan itu menyebut pembayaran bonus atau insentif tinggi itu tidak munasabah bagi sebuah agensi seperti Yapeim yang berorientasi amal jariah. 

Ketika ditanya, Adawiyah bagaimanapun engggan mendedahkan jumlah sebenar pembayaran bonus dan insentif kepada pengurusan tertinggi yayasan itu.

“Kita tidak boleh dedahkan kerana kena dapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Abibullah Samsudin,” katanya.

Tambahnya, bonus berkenaan dibayar daripada akaun am daripada sumber perniagaan dan bukannya tabung amanah dari sumbangan masyarakat kepada Yapeim.

Bagaimanapun, Yapeim dibenarkan untuk mengambil peratusan tertentu daripada tabung amanah untuk pelaksanaan pengurusan.

“Yapeim dibenarkan untuk mendapat peratusan tertentu yang termaktub dalam surat amanah,  berapa peratus yang Yapiem boleh ambil bagi tujuan berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan dan pembayaran terkait dengan pelaksanaan tabung tersebut,” jelasnya.

Pembayaran bonus yang amat besar dan mencurigakan itu adalah antara enam isu penyelewengan Yapeim yang sedang diteliti untuk diambil tindakan dalam proses penstrukturan semula yayasan itu. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen