Status banduan Anwar adalah fakta, kata Takiyuddin


SM Amin

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan enggan meminta maaf kerana menggelar Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

SETIAUSAHA Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kerana menggelarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Katannya, fakta undang-undang berhubung kesalahan yang dijatuhkan ke atas Anwar itu dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang tidak lagi boleh dipersoalkan.

“Saya cakap berdasarkan fakta dan minta orang yang menyeru saya supaya saya minta maaf itu supaya semak pada fakta dan undang-undang sebab kes ini adalah diputuskan di mahkamah.

“Negara kita ada undang-undang yang jelas mengenai kedudukan orang yang disabitkan oleh mahkamah, dia kena semaklah. Saya sudah semak. Kalau tidak, saya tak sebutlah,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media di majlis ulang tahun Umno ke-73 di PWTC malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PKR Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil yang menuntut permohonan maaf atas kenyataan biadap itu.

Akmal dan Faiz juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin itu memperlekeh dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar.

Takiyuddin ketika berkempen di PRK Sandakan mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri.

“Ada seorang cita-cita nak jadi perdana menteri sangat. Keluar daripada penjara tak tahu macam mana dia dapat pengampunan daripada (Yang di-Pertuan) Agong bertanding dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) di Port Dickson.

“Paksa ahli Parlimen yang menang pada PRU14 letak jawatan. Dia bertanding, dia mahu jadi PM. Sebagai peguam kita tahu apabila seorang keluar daripada penjara status seumur hidup (nya) adalah banduan.” – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen