ANGGOTA Umno harus perlu menjaga tindak-tanduk untuk mengelak imej buruk kepada orang Melayu dan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, kata timbalan presidennya Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, rakyat Malaysia keseluruhannya sedang melihat bagaimana orang Melayu hendak mengemudi politik, sosial dan kepercayaan mereka selepas hilang kuasa dalam PRU14 lalu.
“Oleh itu Umno sebagai wadah Melayu terbesar negara harus hati-hati dalam tindak tanduk kita.
“Segala buruk Umno akan memberi tempias pada orang Melayu. Umno bukan hanya parti politik tapi pancaran rohani bangsa Melayu,” katanya.
Beliau berucap acara ulang tahun ke-73 Umno di Kuala Lumpur, kali kedua Umno disambut parti itu sebagai pembangkang selepas tewas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.
Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden berkata Umno tidak boleh menghentikan bakti kepada agama, bangsa dan negara walaupun tidak lagi memegang kuasa.
“Jangan sesekali mengatakan Umno musnah dan hancur dan anggapan buruk kerana Umno lahir daripada idea yang baik dan ideologi Umno membina kelahiran negara dan memakmurkan.
“Dengan itu saya sangat terima kasih kerana setia dengan Umno dalam kuat dan lemah.
“Dalam dua keadaan kedudukan Umno dalam puncak kuasa atau sebaliknya, pemeliharaan kedudukan Islam dan bangsa Melayu akan terus diperjuangkan,” katanya.
Beliau juga menyeru pemimpin dan ahli Umno berjuang atas semangat kebangsaan dengan kefahaman Islam yang mendalam seperti ditunjukkan bersama PAS ketika ini.
“Tiba masa beri nafas baharu mengenai perkara ini. Ahli-ahli Umno dan PAS kita bersaudara namun begitu keegoaan politik telah beri sengketa pada kita dalam tempoh lama.
“Oleh itu kita kena runtuhkan tembok-tembok naratif tersebut dan bina makna dan kesepakatan yang baharu atas semangat politik Melayu dan Islam cara kita sendiri.
“Selepas lebih 70 tahun Umno berdiri sebagai pembela bangsa, sudah tiba masanya nilai, sikap dan pemikiran kita diberikan lonjakan baharu melalui politik Melayu Islam,” ujarnya.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan mantan presiden Najib Razak, Presiden MCA Wee Ka Siong serta Presiden MIC, SA Vigneswaran.
Turut hadir adalah barisan pemimpin PAS termasuk setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan Nasruddin Hasan dan Ketua Dewan Ulama, Dr Mahfodz Mohamed. – 11 Mei, 2019.
Komen