PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim enggan melayan kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan yang mengatakan beliau tidak layak menjadi perdana menteri kerana pernah disabit kesalahan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson sebaliknya berkata, kenyataan Takiyuddin itu perlu dirujuk kepada peguam sama ada ia menghina Yang di-Pertuan Agong atau tidak memandangkan beliau menerima pengampunan Agong.
“Tanya peguam (sama ada hina Agong atau tidak)..saya banyak lagi kerja daripada nak layan dia (Takiyuddin),” kata Anwar.
Beliau berkata demikian selepas melawat bekas pemain dram kumpulan rock lagenda Search, Yazid Ahmad di kediamannya di ibu negara hari ini.
Takiyuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan berkenaan pada Rabu, ketika ceramah di Taman Indah, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
Dalam ceramahnya, Takiyuddin mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana status banduan adalah status seumur hidup walaupun setelah seorang itu keluar daripada penjara.
“Ada seorang bercita-cita nak jadi perdana menteri sangat. Keluar daripada penjara tak tahu macam mana dia dapat pengampunan daripada Agong bertanding dalam PRK (Pilihan Raya Kecil) di Port Dickson.
“Paksa ahli parlimen yang menang pada PRU-14 letak jawatan. Dia bertanding, dia mahu jadi PM.
“Sebagai peguam kita tahu apabila seorang keluar daripada penjara status seumur hidup adalah banduan.
“Jadi mahu kita menjadikan seorang ini sebagai PM kita?” katanya.
Kenyataan Takiyuddin itu menerima kecaman ramai pihak antaranya daripada Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyifatkannya sebagai tidak menghormati Agong.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir pula berkata, Takiyuddin sudah melampaui batas, malah menggesa beliau menarik balik kenyataan tersebut.
“Takiyuddin memanggil dirinya peguam, tetapi jelas sekali beliau gagal memahami undang-undang.
“Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar. Ia secara tidak langsung juga memperlekeh perkenan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
Pada 16 Mei tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memberi pengampunan kepada Anwar yang dipenjarakan kerana didapati bersalah kerana meliwat.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari 2015 selepas mahkamah tinggi memutuskan sabitan dan menjatuhkan hukuman atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. – 11 Mei, 2019.
Komen