RAKYAT Malaysia khususnya orang Melayu masih mahukan “sentuhan Umno” walaupun parti itu tidak lagi menjadi kerajaan pada hari ini, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru itu, beliau meminta supaya ahli Umno segera bangkit walaupun terpaksa belajar dari bawah selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Ambillah peluang dari apa yang sedang kita alami ini untuk kita belajar dari bawah. Insya-Allah tidak lama kerana kita sememangnya sudah belajar jatuh bangun sejak tujuh dekad yang lalu.
“Semua ahli Umno harus bangkit demi ummah dan rakyat Malaysia yang amat memerlukan sentuhan keramat Umno.
“Walaupun kuasa kerajaan telah bertukar tangan namun sentuhan Umno masih ditagih rakyat kerana perjuangan Umno sememangnya berada di landasan yang benar demi agama, bangsa dan negara yang tercinta ini,” katanya dalam ucapan khas sempena ulang tahun Umno yang ke-73.
Dalam ucapan tersebut, Zahid turut mengingatkan ahli Umno supaya terus setia berjuang atas nama parti dan bukannya mengikut kabilah tertentu yang memecahbelahkan parti.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut menyeru kepada ahli Umno supaya menerima kerjasama dengan PAS dan bersama dalam melakukan kebaikan demi ummah.
“Kita bersama-sama dalam melakukan kebaikan demi ummah bersama PAS atas semangat ta’awun iaitu pendekatan ‘win win situation’.
“Kita rapatkan saf perjuangan kita, jika ada yang terluka kita ubati, yang jauh kita dekatkan dan yang renggang kita rapatkan,” ujarnya.
Selepas kalah PRU14, Umno berdepan tekanan apabila 17 ahli parlimen keluar parti kebanyakannya menyertai Bersatu.
Umno kemudian menjalin kerjasama rasmi dengan PAS, bermula dengan pilihan raya kecil dan kini dikembangkan atas isu kepentingan Melayu dan Islam.
Dua parti orang Melayu itu kini bergerak mengadakan kempen bersama atas nama penyatuan ummah dari negeri ke negeri, ketika kerjasama itu sedang di bentuk secara rasmi menuju PRU15. – 11 Mei, 2019
Komen