Mahkamah Kanada bicara kes ubah wang haram syarikat berkaitan Taib Mahmud


NGO Switzerland mendakwa keluarga Gabenor Sarawak Taib Mahmud menyalurkan jutaan ringgit kepada Sakto Corporation. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2017.

MAHKAMAH Tinggi Ontario di Kanada memutuskan kes pengubahan wang haram terhadap syarikat kumpulan hartanah yang dikaitkan dengan Gabenor Sarawak Taib Mahmud akan dibicarakan secara terbuka, kata Bruno Manser Fund (BMF) hari ini.

Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Switzerland itu mengambil tindakan undang-undang terhadap Royal Bank of Canada, Bank Toronto-Dominion, Manulife Financial Corporation dan Deloitte & Touche untuk mendapatkan rekod kewangan daripada Sakto Corporation yang berpusat di Ottawa, yang ditubuhkan pada 1983 oleh Jamilah Taib Murray, dengan hadiah daripada bapanya sebagai permulaan modal.

Kumpulan ini mahukan perintah mahkamah yang akan memaksa pihak bank dan juruaudit mendedahkan maklumat dan rekod pemilikan benefisial untuk menunjukkan aliran dana dari Malaysia kepada syarikat Kanada milik keluarga Taib itu.

Di bawah undang-undang Kanada, syarikat swasta tidak perlu mendedahkan pemegang saham mereka secara terbuka.

BMF berkata tidak pernah ada perintah sedemikian – perintah Norwich Pharmacal – diberikan kepada plaintif yang ingin memulakan pendakwaan jenayah.

Dalam video YouTube yang dimuat naik semalam, pengarah BMF, Lukas Straumann menjelaskan tindakan undang-undang organisasi di Kanada itu terhadap keluarga Taib, yang digambarkannya sebagai “sangat berkuasa, sangat kaya dan sangat korup”.

Taib adalah gabenor Sarawak dan pernah menjadi ketua menteri selama lebih 30 tahun.

“Jamilah, berusia 23 tahun, memulakan perniagaan jutaan dolar dengan wang daripada ayahnya yang dikatakan didapati secara sah. Kami berkata ia diperoleh melalui rasuah, wang yang dicuri,” kata Lukas dalam video berdurasi kurang dua minit.

“Kami telah menyaman tiga bank di Kanada, kami mahu rekod bank Sakto, syarikat Jamilah, diberikan kepada kami kerana kami sedang mempertimbangkan untuk melakukan pendakwaan swasta.

“Tiada pendakwa raya memburu syarikat itu kerana dakwaan pengubahan wang haram, jadi sebagai organisasi swasta, kita perlu melakukannya,” katanya.

BMF mendakwa Taib menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan untuk dirinya dan ahli keluarga terdekat yang memiliki kepentingan di lebih 400 syarikat.

Kumpulan itu dilaporkan memfailkan kepada Mahkamah Tinggi Ontario, Kenyataan Tuntutan, Factum, Notis Pergerakan dan Afidavit oleh Straumann dengan 140 ekshibit, termasuk buku, kenyataan video dan lebih 2,000 halaman rekod yang memperincikan penyalahgunaan pihak Taib dan kekayaan ahli keluarga terdekatnya.

Kertas mahkamah itu mengandungi butiran mengenai lesen pembalakan dan pajakan tanah untuk ladang-ladang yang didakwa diberikan kepada syarikat-syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh sama ada dirinya atau ahli keluarga; dakwaan bayaran sogokan dalam pertukaran bagi pemberian kontrak balak dan pajakan tanah; dan dakwaan bayaran rasuah untuk mengeksport, memproses dan pengangkutan perniagaan balak.

BMF berkata ia membentangkan bukti yang didokumenkan mengenai perniagaan Taib di Kanada dan Malaysia, laporan akauntan forensik terhadap perusahaan keluarganya, dan lain-lain.

Kumpulan itu berkata walaupun tiada keputusan mengenai merit kes tersebut, Hakim F.L. Myers, dalam kelulusannya menunjukkan mahkamah mengambil serius isu itu.

“Sekiranya bukti plaintif adalah betul, mungkin terdapat salah laku jenayah yang sangat signifikan dilakukan di sini dengan bantuan pegawai asing yang rasuah.

Pada Mac tahun ini, laporan BMF dibentangkan di Parlimen Kanada yang mendakwa keluarga Taib menyalurkan sekurang-kurangnya C$69.8 juta (RM232 juta) kepada kumpulan syarikat Sakto.

Laporan itu menyatakan Taib berkata dalam satu temu bual yang beliau memberikan kepada Jamilah satu jumlah yang tidak didedahkan – diambil daripada ganjaran yang beliau terima selepas meletak jawatan daripada kerajaan persekutuan pada 1981 – untuk memulakan perniagaannya di Ottawa.

Sebulan sebelum itu, BMF menerbitkan laporan penyelidikan setebal 85 muka surat berjudul “Safe Haven Canada”, yang mengenalpasti banyak amaran pengubahan wang berkaitan dengan aktiviti perniagaan Sakto di Kanada.

Presiden Sakto, suami Jamilah, Sean Murray, menulis surat kepada Toronto Star pada 2014 yang menafikan Taib terlibat dalam syarikat itu. Beliau mendedahkan pemegang saham syarikat itu adalah Jamilah dan tiga orang ahli keluarga lain, termasuk abang Taib, Onn Mahmud.

Aset semasa Sakto dianggarkan berjumlah C$ 200 juta (RM682.87 juta), tidak termasuk anak-anak syarikatnya dan perniagaan berkaitan di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia, menurut laman sesawang Ottawa Citizen pada April. – 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen