Prestasi Guan Eng mengagumkan, kata bekas presiden MCA


Khoo Gek San

Menilai prestasi Pakatan Harapan dalam tempoh setahun adalah tidak munasabah, kata bekas presiden MCA Chua Soi Lek. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.

DR Chua Soi Lek memuji prestasi seterunya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang disifatkan mengagumkan dalam mengurus kewangan kerajaan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh bekas presiden MCA itu.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji menteri DAP lain dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini, menteri-menteri DAP adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Sama ada suka atau tidak, Lim tahu bagaimana nak spin berita. Beliau tahu apa yang beliau buat, ketika ekonomi negara ada masalah, beliau ambil tindakan yang sepatutnya untuk tambah pendapatan negara,” kata Chua.

Katanya, Gobind dan Loke juga menteri yang lebih banyak bekerja berbanding melayan retorik politik.

Lim sebelum ini mengumumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan pungutan cukai lebih RM150 bilion, walaupun pada asalnya lembaga itu menyasarkan RM147 bilion. Ini kerana LHDN telah mengutip RM147 bilion pada 2018, peningkatan sebanyak 7.3%, kata menteri kewangan itu.

Chu Soi Lek berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng tahu apa yang sepatutnya dilakukan ketika kewangan negara mengalami masalah.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2019.

“Ini berbeza dengan menteri (Pakatan Harapan) lain, bercakap tentag kereta terbang, tukar kasut sekolah daripada putih ke hitam, mempelbagaikan tanaman untuk imbangi penurunan harga minyak sawit, mereka jadi bahan lawak kepada negara,” Chua memberitahu The Malaysian Insight.

Namun, bekas menteri kesihatan itu menambah, menilai prestasi PH dalam tempoh setahun adalah tidak munasabah.

“Kita perlukan dua atau tiga tahun untuk menilai mereka, tetapi memang ada menteri yang tidak perform,” katanya.

Chua berkata sejak berada dalam kerajaan persekutuan, DAP seolah-olah hilang prinsip kerana banyak berdiam diri apabila ia melibatkan isu yang mereka perjuangkan sebelum ini.

DAP katanya sekian lama menuduh MCA sebagai parti korup dan tidak bermoral, tidak setara dengan Umno dalam Barisan Nasional.

“Tetapi sekarang DAP dalam kerajaan, adakah mereka buat perkara yang sama? Bukankah mereka juga buta dan pekak serta hanya mengikut (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad? Mereka senyap saja mengenai isu kritikal.

“Dulu mereka lantang bersuara mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf, sekarang hampir tak berbunyi, dan bagaimana dengan peruntukan untuk sekolah Cina? Apabila Menteri Hal EHwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali umum dasar ekonomi Bumiputera yang baru, DAP ada cakap apa-apa?” kata Chua. 

Berkenaan kekalahan berturut-turut dalam PRK yang dialami PH, Chua berkata ia memang sudah dijangka bahawa kerjasama Umno-PAS akan meraih sokongan kuat orang Melayu. – 11 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen