DAP kini telah menjadi apa yang pernah dituduh kepada MCA sebelum ini - “budak suruhan” kepada pakatan pemerintah dan tidak mampu bersuara dalam isu yang kritikal, kata bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek.
Beliau berkata, DAP hampir tidak bersuara berkenaan isu penting dalam tahun pertamanya sebagai kerajaan dan ia sama sahaja seperti MCA ketika Barisan Nasional berkuasa.
Sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 tahun lalu, MCA yang merupakan parti etnik Cina BN, dituduh menjadi budak suruhan Umno kerana gagal bersuara terhadap salah laku yang dibuat oleh pemimpin BN, seperti dakwaan yang menyelubungi 1Malaysia Development Berhad dan beberapa isu kaum.
“DAP dilihat hanya membisu dan hanya mengikut keputusan (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad dalam isu kritikal, dan langsung tidak berhujah mengenainya.
“Mereka pernah perjuangkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu, namun kini mereka hanya berdiam diri sahaja mengenainya.
“Dan bagaimana dengan peruntukan untuk sekolah Cina? Dan ada pula dasar ekonomi Bumiputera Dr Mahathir dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, di mana suara yang lantang, terutamanya DAP?” kata Dr Chua dalam satu wawancara.
Namun, walaupun beliau mengkritik tindakan DAP yang berdiam diri, Dr Chua berkata menteri dari parti itu menjalankan tugas dengan baik dalam kerajaan baharu.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng merupakan menteri kewangan, manakala pemimpin parti lain yang memegang jawatan dalam kabinet adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.
Tetapi memegang jawatan kabinet juga bermakna DAP berdiam diri kerana mahu menyelamatkan jawatan ini, dakwa Chua.
Beliau merujuk kepada isu melibatkan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira WangNegara (PAC), yang enggan ditukar oleh Dr Mahathir walaupun selepas Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee yang memegang jawatan itu keluar Umno untuk menyertai Bersatu.
Ketika DAP tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendirian parti mengenai perkara itu, pemimpin individu bagaimanapun menyatakan mereka tidak setuju dengan keputusan Dr Mahathir untuk mengekalkan Kiandee sebelum ini. Antaranya adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh juga sering mengkritik kegagalan kerajaan Pakatan Harapan untuk meminda atau memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan.
Chua bagaimanapun memuji tindakan pemimpin PKR Nurul Izzah kerana meletakkan jawatan sebagai ahli PAC bagi membantah pelanggaran janji PH untuk melantik pengerusi daripada pembangkang. Nurul Izzah kemudian menarik balik peletakan jawatannya selepas ahli parlimen pembangang dilantik ke jawatan itu.
“Sekiranya saya masih dalam pimpinan DAP, saya akan lakukan kepada DAP apa yang pernah ia buat kepada kita dan memanggil mereka budak suruhan Dr Mahathir,” kata Chua.
Chua, yang juga presiden MCA dari 2010 hingga 2013 berkata, kepimpinan MCA sekarang perlu mencontohi taktik DAP ketika ia masih pembangkang.
“Tetapi kita tidak melihat pemimpin MCA mengkritik dakwaan DAP,” katanya.
Presiden MCA kini adalah Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam. Beliau memegang kerusi tunggal parti itu di Parlimen berikutan prestasi buruknya dalam PRU14.
Chua memuji perjuangan Wee, dengan menyatakan bahawa ia sukar untuk menjadi suara tunggal MCA dalam pembangkang.
“Wee memainkan peranan sebagai pembangkang, malangnya hanya ada beliau, anda memerlukan lebih daripada satu orang untuk melakukan periksa dan imbang, anda memerlukan satu pasukan. Anda perlu melaksanakan peranan ini dari negeri ke peringkat persekutuan, hanya kemudian orang akan menganggap anda sebagai pembangkang yang berkesan.” – 11 Mei, 2019
Komen