Membangun agenda sinema Malaysia


Haris Hauzah

PADA 1994, dalam satu Persidangan Karyawan Seni Filem Umat Muslim di Tehran, Mansor Puteh melontarkan satu persoalan.

Dia bertanya: “Mengapa umat Islam perlu menghabiskan beratus-ratus juta dolar untuk membina stesen-stesen televisyen, radio, panggung wayang dan menerbitkan akhbar serta majalah hanya untuk mengubahnya menjadi alat mempromosikan kebudayaan imperialisme barat?”

Selepas Shah Iran terakhir Mohammad Reza Pahlevi yang didukung kuat pentadbiran Amerika diguling pada tahun 1979, semacam ada kebangkitan kesedaran terhadap Islam sebagai suatu model kerajaan serta bentuk politik pemerintahan termasuklah pada budaya, seni dan kesusasteraan.

Lalu apabila pemimpin tertinggi revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini kembali ke negaranya setelah beberapa tahun hidup dalam buangan, dia dengan segera menghentikan segala bentuk budaya dan semua jenis produk yang ada kaitan dengan Amerika, termasuk filem. Dia menggantikan filem Iran dengan bentuk sinema yang penuh dengan syiar keislaman.

Selepas tiga tahun pemerintahan, Iran melalui Kementerian Budaya dan Pedoman Islam telah menggubal satu dasar pengawasan terhadap industri filem Iran. Dari situ filem-filem yang dihasilkan perlu melalui proses saringan dan tapisan sebelum diberi izin tayang.

Khomeini pada kemuncak era permulaan budaya sinema baru yang dia gagaskan telah menjadikan filem sebagai medan peperangan. Melalui filem, Khomeini menyebarkan propaganda ideologi bagi menentang imperialis barat dan memerangi tradisi kebudayaan sinema Amerika yang selama ini mendarah daging dalam masyarakat muslim Syiah di Iran. 

Keberhasilan Iran membina semula sinemanya dengan menghabiskan sekian banyak rial untuk membangun dan menjenamakan semula stesen-stesen televisyen, radio, panggung wayang serta menerbitkan akhbar, buku dan majalah adalah untuk membebaskan budaya, seni dan kesusasteraan mereka dari cengkaman impirealis barat dan Amerika. 

Sinema Iran melalui segala produk kesenian termasuk lagu, buku dan filem digunakan sebagai alat mempromosi kebudayaan sendiri dengan jati diri sebagai muslim Parsi dan bukannya lagi sebagaimana apa yang berlaku pada era Shah Iran sebelumnya.

Hari ini, setelah 40 tahun sejak Shah Iran ditumbangkan dan Khomeini membangunkan industri perfileman yang dia revolusikan melalui perang kebudayaan, Iran boleh berbangga dengan kejayaan dunia sinema mereka yang terbukti banyak menempa kejayaan.

Malah menurut Mansor dalam kertas kerja bertajuk Muslim Cinema as an Antithesis to Hollywood itu lagi: “Republik Islam Iran mungkin sekarang telah musnah sama sekali dari dalam, jika Iran tidak membangunkan sinema kebangsaan sendiri sebagai alternatif kepada filem-filem asing yang menekankan nilai-nilai anti Islam yang pasti akan mempengaruhi jiwa setiap rakyat Iran. Keadaan ini akan kemudiannya memaksakan berlakunya perubahan sosial dan politik yang akhirnya akan menolak Islam.”

Namun untuk menjawab pertanyaan Mansor yang telah berusia 25 tahun itu, tentu sekali kita harus jadi benar-benar jujur. Malah perlu juga serba siap untuk memperbetulkan diri dalam menilai akan diri dan tradisi budaya di tempat sendiri.

Berbeza dengan Iran yang bermazhab Syiah, kita tidak pernah teruja untuk mengkayakan budaya, seni dan kesusasteraan kita. Kecenderungan sinema kita hanyalah pada hal-hal hiburan kosong dan isu-isu remeh.

Dunia sunni yang kita anuti ini masih lagi terlalu berharap pada kisah percintaan Laila Majnun dan Hikayat Seribu Satu Malam, serta masih mahu bergantung pada filem seperti Lion of The Desert atau barangkali mungkin hanya pada filem seperti Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul atau Abu Hassan Penchuri.

Hollywood yang Mansor anggap musuh itu sudah terlalu jauh meninggalkan kita – sedang kita masih asyik berlumba-lumba mahu memperlihatkan kemajuan negara dengan membina lebih banyak masjid dan surau yang macam mahligai, dan membangunkan lebih banyak kondominium mewah dan tempat membeli belah yang serba canggih. 

Sinema kita hanya mampu menyaksikan sahaja kebangkitan satu demi satu sinema lain seperti Jepun dan Korea serta Thailand dan Indonesia.

Najib Razak atau Dr Mahathir Mohamad tentu saja bukan Sayyid Ruhollah Khomeini atau Sayyid Ali Khamenei yang serius serta konsisten melakukan perang kebudayaan dengan membangunkan industri sinema kebangsaan mereka sendiri.

Pimpinan Melayu Islam kita tidak pernah merasakan filem itu sangat penting untuk membangunkan masyarakat dari aspek budaya, seni, sikap dan pemikiran – kerana itu keterujaan kita hanya tertumpu untuk mengeluarkan beratus ribu graduan Al-Azhar. Tidak cukup dengan itu, kita tambah lagi dengan Imam Muda dan Pencetus Ummah untuk jadi agamawan pilihan.

Agamawan televisyen yang seharusnya jadi inspirasi keislaman ini, sebaliknya telah menjadi pencetus benci dan kemarahan. Kontroversi dan perbalahan antara mereka sama dengan rengek artis yang mengejar popular mencari perhatian.

Hari ini, kita masih sangat jauh ketinggalan. Walaupun Mansor pada pembentangannya itu menyatakan terdapat kira-kira 1.3 bilion umat Islam di dunia pada hari ini terdiri daripada pelbagai bangsa di semua negara di dunia. 

“Jumlah ini sedang meningkat dengan cepatnya. Sudah tentu mereka berhak untuk menonton filem-filem dan program televisyen oleh pembikin-pembikin filem Islam, yang tidak memperkecil gaya hidup dan budaya serta sejarah umat Islam.” 

Namun pembikin filem muslim kita masih tetap ragu serta tidak tahu akan fungsi seni dan peranan manusia sebagai hamba tuhan.

Malang terbesar adalah apabila kita tidak memegang apa-apa mazhab perfileman. Sinema kita juga tidak menganut mazhab Impirealis Hollywood atau mana-mana dunia sinema barat, serta tidak juga berkiblatkan sinema yang dibangunkan atas dasar jati diri dan kebudayaan seperti Korea, Jepun mahupun Iran.

Televisyen kita lebih gemar membesarkan rancangan seperti Pencetus Ummah dan Da’i pendakwah Nusantara yang berakhir dengan banyak pencemaran. Sementara sinema kita terus menerus kemabukan dengan slogan-slogan mesej dakwah yang bukan-bukan. 

Kefahaman spiritual dan semangat teologi seni sinema kita tidak mengetahui apa itu profetik dan transendental.

Di Malaysia umat Islam akan menghabiskan beratus-ratus juta ringgit untuk mewarisi stesen-stesen televisyen, radio, panggung wayang dan menerbitkan akhbar, buku serta majalah bukan untuk mempromosikan kebudayaan impirealis barat. Tapi hanya untuk melalai dan mengkhayalkan masyarakat supaya menjauhi seni, budaya dan kesusasteraan yang sepatutnya diperkayakan dan diperhebatkan. – 11 Mei, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen