Bangladesh desak Myanmar terima kembali Rohingya


Kebanyakan pelarian adalah wanita dan kanak-kanak, mangsa paling menderita akibat krisis kemanusiaan yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik ‘contoh klasik buku teks’ itu. – Gambar EPA, 20 September, 2017.

PERDANA Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mengeluarkan desakan terbaru supaya Myanmar menerima kembali sebahagian daripada 420,000 pelarian Islam Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negara itu.

Hasina, yang bercakap kepada aktivis Bangladesh di New York ketika menghadiri Persidangan Agung PBB menggesa tekanan antarabangsa yang lebih hebat dikenakan ke atas Myanmar dalam krisis kemanusiaan yang semakin memuncak sejak tiga minggu lepas itu.

“Kami sudah beritahu Myanmar, mereka adalah rakyat (Myanmar), anda perlu terima mereka balik, jaga mereka, berikan mereka tempat berlindung, tidak boleh wujud penindasan dan siksaan,” katanya pada pertemuan semalam.

Perdana menteri Bangladesh itu sedang melaksanakan tindakan diplomatik bagi memujuk Myanmar menerima kembali pelarian itu.

“Tetapi kerajaan Myanmar masih belum memberikan jawapan. Sebaliknya, Myanmar menanam periuk api di sepanjang sempadan bagi menghalang Rohingya kembali ke tanah air mereka,” katanya.

Pemimpin Myanmar, Aung Sang Suu Kyi berkata dalam ucapannya sebelum ini yang negara itu akan menerima kembali pelarian yang sah. Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan enggan mengurniakan kewarganegaraan kepada mereka walaupun minoriti itu sudah menetap di negara itu berdekad lamanya.

Hasina meminta “bantuan kemanusiaan kecemasan” daripada negara Islam lain bagi membantu Bangladesh menangani kebanjiran pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada “pembersihan etnik”, kata Hasina seperti dipetik dalam laporan agensi berita BSS.

“Ia kemusnahan kemanusiaan yang tidak terjangkau dek akal. Saya sudah lawat mereka dan mendengar kisah penderitaan mereka, terutamanya wanita dan kanak-kanak,” katanya.

“Saya mengalukan anda semua untuk datang ke Bangladesh dan mendengar daripada mereka sendiri kekejaman yang berlaku di Myanmar,” katanya.

Majoriti pelarian adalah wanita dan kanak-kanak.

Walaupun Bangladesh meraih pujian antarabangsa kerana membuka pintu sempadannya kepada Rohingya, agensi bantuan antarabangsa memberi amaran yang krisis kemanusiaan itu akan bertambah buruk disebabkan pihak berkuasa negara itu bergelut untuk menyediakan kemudahan asas kepada pelarian baru.

Seramai 420,000 pelarian kini menetap di khemah sementara di bandar Cox’s Bazar yang terletak di sempadan, menambah jumlah pelarian yang sebelum ini berjumlah 300,000 yang terlebih dahulu melarikan diri. – AFP, 20 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen