Setahun Malaysia Baharu: Menggilap idealisme Reformasi 


Tokoh yang memimpin keseluruhan gerakan reformasi itu tetap satu – Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 11 Mei, 2019.

DALAM masa setahun Malaysia Baharu, sebetulnya ada banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh parti Pakatan Harapan (PH). Namun ada juga beberapa ketika muncul hal yang meresahkan masyarakat dan tidak kurang peristiwa yang hanya disensasikan untuk kepentingan pihak tertentu.

Atas semangat arus perubahan politik terbesar yang pernah terjadi dalam sejarah tanah air kita, pelbagai pihak sejak tahun lalu mula mendesak mengikut tafsiran masing-masing, yang dirasakan seiring dengan semangat perubahan.

Persoalan sebenarnya yang bangkit: apakah yang majoriti rakyat tuntut apabila membuat keputusan bersejarah itu? 

Di sini, dirasakan perlunya kita menggilap semula prinsip perubahan politik yang berlaku pada 9 Mei 2018 itu.

Idealisme Reformasi

Malaysia yang baharu ini berakar umbi dari gerakan rakyat yang mendambakan kebenaran dan keadilan sejak sekian lama. Gerakan besar rakyat yang meledak pada tahun 1998 yang digelar gerakan Reformasi, telah dicatat kemas maksudnya dalam Deklarasi Permatang Pauh bertarikh 12 September 1998.

Deklarasi itu dimulai dengan rujukan kepada Al-Quran surah Hud ayat 88 yang bererti “tidaklah aku mahu selain daripada melakukan islah (reformasi) sekuat daya aku.” Maksud islah atau reformasi ini telah disusun kepada 7 agenda yang dirumus sebagai satu daya usaha untuk menyedarkan bangsa:

1. “...sesungguhnya diri manusia mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi…” (maruah insan)

2. “...semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan…” (kuasa rakyat)

3. “...menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana…” (ekonomi)

4. “...membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah…” (perundangan dan kehakiman)

5. “...memperkukuhkan jati diri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik… ” (watak)

6. “...membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan…” (Teknologi) 

7. “...membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan maha kaya…” (korupsi)

Selepas 20 tahun

Lebih 20 tahun terpandu dengan 7 agenda ini, tokoh-tokoh rakyat yang menggerakkan Reformasi tumbuh silih berganti dan berlipat kali ganda ramainya sehingga membentuk ketumbukan majoriti. Namun, tokoh yang memimpin keseluruhan gerakan reformasi itu tetap satu – Anwar Ibrahim.

Reformasi yang diimpikan rakyat sejak 1998, telah beliau pimpin dengan prinsip yang tetap dan jelas berserta strategi yang relevan dan segar walau dirinya dibungkam terpenjara.

Beliau menggambarkan imaginasi masa depan yang menawan melalui bukunya yang terkandung hikmah kebijaksanaan – Gelombang Kebangkitan Asia: dasar alternatif yang merakyat, pidato-pidato yang menggegar jiwa dan semestinya melalui gerak kerja yang tanpa henti melawan rasuah, penyelewengan, pembodohan dan penindasan ke atas rakyat.

Sebagai tokoh yang telah mencetuskan dan memberi makna kepada gerakan Reformasi, sudah tentu beliau sesuai untuk memimpinnya di peringkat nasional selepas ini. Tetapi buat masa ini sebagai sebuah kerajaan baharu, terjemahan agenda reformasi dari idealisme kepada pelaksanaan dasar sudah tentu bukan perkara mudah.

Ia memerlukan kerangka pemikiran yang jelas, keyakinan yang utuh dan tekad politik untuk melaksanakannya dengan sedaya upaya demi menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Iktibar pengalaman masyarakat dunia

Kerajaan Persekutuan di bawah PH wajar mengambil iktibar daripada pengalaman masyarakat dunia dalam menyantuni perubahan.

Sebagai contoh di Poland, Presiden Lech Walesa yang kalah selepas memerintah 5 tahun, dipercayai kalah antaranya kerana pimpinan yang berkecamuk dan kasar. 

Pengalaman di China pula menunjukkan selepas Kuomintang mengalahkan dinasti Qing, negara mengalami kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi lalu menjadi antara penyebab kekalahannya kepada parti Komunis. 

Begitu juga pengalaman Jepun selepas Parti Demokratik Jepun (DJP) berjaya mengalahkan Liberal Democratic Party (LDP) yang sudah lama memerintah. Konflik dalaman DJP dan banyak dasar yang dicadangkan tidak menjadi, menyebabkan LDP menang semula.

Ini sebahagian daripada sejarah dunia tentang cabaran kerajaan baharu selepas berjaya mengalahkan pemerintah lama tetapi kemudian gagal.

Boleh kita rumuskan penyebabnya adalah kerana kerajaan yang baharu itu gagal menyantuni cabaran hidup rakyat yang sebenar seperti kos sara hidup yang tinggi, masalah pengangguran yang berlarutan dan dasar awam yang tidak mencapai perubahan yang rakyat impikan.

Menghadapi cabaran peralihan

Dalam menanggapi cabaran transisi di Malaysia yang mungkin sedang mengalami pengalaman yang serupa dengan pengalaman negara-negara lain, Anwar di Dewan Rakyat mahupun di lapangan terus mengambil pendirian mewakili “conscience of the majority”.

Atas semangat ekonomi yang manusiawi, beliau membela golongan yang menderita dan memerlukan bantuan seperti pekebun kecil, nelayan miskin, pekerja estet dan mahasiswa yang menghadapi cabaran pendapatan terhad dan terhimpit kos sara hidup yang tinggi seperti yang beliau sentu di Dewan Rakyat pada Mac lepas tentang bantuan mahasiswa miskin dan isu kemiskinan desa dan bandar.

Pada usia 71 tahun, beliau terus meneroka langkah-langkah tambahan untuk mempelbagaikan sumber kekayaan rakyat yang merangkumi bidang pertanian, industri dan perkhidmatan, dengan memanfaatkan ekonomi digital melalui usahasama dengan kerajaan dan swasta. Ini terzahir dengan peluncuran Digital Native Agenda 23 bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo lebih kurang 2 bulan lalu.

Melalui peranan sebagai pemimpin bangsa dan umat, beliau tanpa henti mengangkat nilai-nilai agama, tradisi dan peradaban yang sejagat seperti kemanusiaan, kasih sayang, budaya ilmu dan semangat saling mengenali bagi mendidik dan menyatukan bangsa daripada dipecahkan oleh anasir retorik kebencian yang memperalatkan agama dan kaum. Ini antara gerakan pencerdasan yang tidak pernah putus sejak pidato Islam dan Masyarakat Majmuk tahun 1978.

Tanpa apologetik, beliau tekad mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, institusi Raja-raja Melayu sebagai raja berperlembagaan juga kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah, tanpa kompromi bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang didasari prinsip kebebasan dan keadilan.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau dengan berani bersuara lantang, konsisten mengangkat mesej kemanusiaan sekaligus mengecam provokasi yang menghina agama, mengutuk tindakan kejam pengganas dan dasar negara lain yang tidak berperikemanusiaan.

Malah sehingga hari ini beliau terus tekal membawa wacana intelektual yang membicarakan tentang Islam, nilai-nilai demokrasi dan urustadbir yang baik melalui syarahannya di universiti-universiti dan kerjasama dengan badan-badan pemikir di peringkat antarabangsa seperti di Universiti Stanford, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) baru-baru ini.

Masa depan Malaysia Baharu

Semua usaha kecil yang dicapai oleh beliau setakat ini adalah atas kapasiti terhad sebagai seorang ahli Parlimen.

Membayangkan Anwar sebagai pemimpin Malaysia selepas Dr Mahathir Mohamad, kita boleh mengunjurkan bahawa Malaysia dengan kerajaan Reformasi nanti bukan sahaja akan terus mengangkat kembali martabat rakyat semua kaum dan agama. 

Ia juga akan menyambung wawasan negara dan melaksanakan reformasi yang didambakan rakyat terbanyak, tetapi mampu mengemudi satu gagasan kebangkitan,  renaissance atau nahdah peradaban, dari Malaysia untuk dunia. – 11 Mei, 2019.

* Yasir Tamizi adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen