Tingkatkan pengeluaran makanan untuk kurangkan bil import


Looi Sue-Chern

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, Malaysia sedang berusaha meningkatkan pengeluaran makanannya termasuk makanan haiwan bagi mengurangkan bil import makanan yang melebihi RM50 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2019.

TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, Malaysia sedang berusaha meningkatkan pengeluaran makanannya termasuk makanan haiwan bagi mengurangkan bil import makanan yang melebihi RM50 bilion.

Beliau berkata, antara inisiatif itu adalah dengan menggunakan tanah seluas 40,000 hektar tanah Felda yang belum digunakan bagi menanam sayur-sayuran, tanaman tunai dan ternakan baka.

Sim berkata, petani Felda perlu mempelbagaikan kemahiran pertanian mereka sekarang bagi mengatasi kemerosotan dalam perniagaan minyak sawit.

“Mereka mesti belajar menanam sayuran dan cendawan serta haiwan peliharaan. Kementerian boleh berkongsi kepakaran dengan mereka,” katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke WorldFish hari ini.

WorlFish merupakan sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan antarabangsa yang berpusat di Pulau Pinang menjalankan penyelidikan mengenai perikanan dan akuakultur bagi mengurangkan rasa lapar dan memberi makan kepada golongan miskin.

Sim juga berkata, kerajaan cuba mengurangkan pergantungan pada makanan haiwan yang diimport seperti jagung, soya dan makanan ikan.

“Import makanan haiwan memerlukan kos RM3 bilion. Kami sedang mengurangkannya sebanyak 10%. Itu bermakna peluang perniagaan bernilai RM300 juta untuk petani tempatan.

“Cabarannya ialah mencari petani yang menggunakan tanaman yang betul dan pelbagai cara menghasilkan makanan haiwan sendiri,” katanya.

Tambahnya, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) mencari pelbagai jenis jagung yang sesuai untuk menghasilkan makanan haiwan.

“Mereka bereksperimen untuk mencari yang bersesuaian dengan cuaca kita bagi memperkenalkannya kepada petani agar dapat mengurangkan kebergantungan terhadap makanan haiwan import,” katanya. – 10 Mei, 2019

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen