Kekayaan negara diagih adil dalam Malaysia baharu, kata menteri Kabinet


Mohd Farhan Darwis Mikha Chan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia yang baharu adalah sebuah pentadbiran kerajaan yang berpegang pada prinsip akauntabiliti, integriti dan peduli rakyat.. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Mei, 2019.

MALAYSIA baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berusaha memastikan segenap lapisan rakyat menikmati hasil kemakmuran negara, kata menteri Kabinet.

Cita-cita itulah yang dihuraikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan khas beliau sempena genap setahun kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata mereka.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, setahun selepas PRU14, Dr Mahathir kini cuba memberi tafsir tentang Malaysia baharu.

Katanya, perdana menteri dengan jelas menegaskan bahawa Malaysia yang baharu adalah sebuah pentadbiran kerajaan yang berpegang pada prinsip akauntabiliti, integriti dan peduli rakyat.

“Telah sekian lama walaupun Malaysia ini mewah dari segi hasil mahsulnya tapi ia tidak dikongsi secara adil dengan rakyat di bawah.  

“Maka Wawasan Kemakmuran Bersama ini menjamin semua rakyat dapat pengagihan yang adil khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar, desa dan mengurangkan kesenjangan pendapatan rakyat.

“Ini teras penting, yang sebahagiannya sudah bermula,” kata Azmin ketika ditemui selepas majlis perutusan perdana Dr Mahathir sempena setahun kerajaan di bawah PH, di Putrajaya, hari ini.

“Dengan teras ini pentadbiran baru yakin dapat pulihkan ekonomi negara dan dapat beri tenaga baru supaya Malaysia bangkit semula sebagai Harimau Asia,” tambahnya.

Dalam ucapan setahun selepas kembali sekali lagi menerajui Malaysia, Dr Mahathir membentangkan wawasan baru untuk membangunkan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang sehingga 2030.

Kata perdana menteri, Malaysia untuk 10 tahun akan datang akan dibangunkan dengan semangat kemakmuran bersama iaitu sebuah wawasan baru yang akan mengagihkan pembangunan dan kekayaan negara dengan lebih adil untuk semua rakyat.

Semangat kemakmuran bersama itu diharap akan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan semua rakyat tanpa mengira kelas, kaum, dan wilayah, katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pula berkata isu kaum dan agama yang sedang didendang oleh pembangkang tidak akan kekal lama apabila kerajaan melaksanakan dasar ekonominya yang mengutamakan semua pihak.

“Saya yakin menjelang PRU15 akan datang, hujah kita akan dilihat benar oleh rakyat,” kata Mohamad.

Beliau yang juga presiden Amanah berkata, cadangan kemakmuran negara dikongsi bersama itu adalah supaya “semua kaum dapat menikmati peningkatan ekonomi pada masa sekarang dan akan datang.”

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan wawasan baru itu kerajaan berharap akan dapat melaksanakan janji untuk memastikan tiada lagi rakyat yang ketinggalan.

“Kata kuncinya ialah kemakmuran bersama, tidak ada orang akan ketinggalan dan jurang- jurang ini dapat kita tampung dan rapatkan. Itu janji dibuat Dr Mahathir,” katanya. – 9 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen