Kumpulan tewas PRU14 berusaha tuduh Pakatan pinggir Melayu Islam, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Kumpulan tewas PRU14 berusaha menggambarkan Pakatan Harapan tidak pedulikan kepentingan Melayu dan Islam kerana takut semua kebatilan mereka terbongkar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Mei, 2019.

WUJUD usaha kumpulan tewas pilihan raya untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tunduk kepada tuntutan golongan bukan Islam dan menggadaikan kepentingan Islam dan Melayu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Kumpulan itu, kata Dr Mahathir, takut kepada proses keadilan yang sedang berlaku dan berusaha menuduh kerajaan mahu menghapuskan kuasa raja. Tambahnya, mereka juga sanggup bersatu dengan musuh lama atas nama “perjuangan Islam dan Melayu”.

“Permasalahan yang kita hadapi hari ini bukanlah semata-mata berkaitan dengan tekanan kos hidup yang tinggi. Ianya satu perkara yang sedang kita tangani dan akan kita tangani.

“Yang lebih menekan ialah wujud satu gerakan, pastinya di dalangi oleh mereka yang tewas di dalam pilihanraya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang telah mula membelenggu mereka,” katanya ketika berucap di majlis perutusan perdana setahun Malaysia Baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Pengerusi PH itu berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan digambarkan sebagai tidak pedulikan Islam dan Melayu.

“Kerajaan hari ini digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja.

“Atas sebab-sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang ialah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam,” kata Dr Mahathir.

Katanya, pentadbiran Barisan Nasional dan Umno ditumbangkan PH dipimpinnya bagi menghalang kebatilan yang berleluasa berlaku dalam negara sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Apabila ini tercapai, hari ini PAS menyeru penyokongnya untuk bersama dengan Umno untuk mempertahankan Melayu dan Islam.

“Dimanakah mereka ketika pemimpin Umno mencuri dan menjarah harta negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi Kerajaan seperti KWAP dan KWSP?” soal Dr Mahathir lagi.

Jelasnya, kumpulan itu tidak berjuang mempertahankan Melayu dan Islam tetapi hanya membela perompak BN-Umno.

Malah mereka juga mengharapkan kerajaan PH yang dipilih rakyat tumbang supaya kes dan pertuduhan jenayah dihadapi mereka digugurkan dan mereka tidak perlu bertanggungjawab atas semua kerosakan berlaku ke atas Malaysia.

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.” – 9 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen