
SEJAK junjung kuasa Mei lalu hingga April tahun ini, Pakatan Harapan berjaya melunaskan 39.01% janji manifestonya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Katanya, jumlah itu adalah berdasarkan status kemajuan 464 inisiatif dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dijanjikan oleh setiap parti dalam pakatan pemerintah itu.
“Sebanyak 53 inisiatif atau 11.42% telah ditunaikan dari 128 inisiatif, manakala 283 inisiatif atau 60.99% adalah di peringkat dalam perancangan atau belum mula.
“Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 % berbanding 9.67% pada 31 Disember 2018,” kata Dr Mahathir, ketika berucap dalam majlis perutusan perdana setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), petang tadi.
Tambahnya lagi, kerajaan pimpinannya sedar wujud ketidakpuasan hati rakyat dan tuduhan yang PH gagal memenuhi beberapa janji manifesto.
“Pertamanya, telah saya terangkan sebelum ini bahawa apabila kita mengambil alih kerajaan, kita dapati kerosakan yang berlaku begitu besar sehingga kita dapati kita tiada berkeupayaan untuk memenuhi janji-janji itu seberapa segera yang mungkin.
“Malahan, keutamaan kita berubah apabila kita dapati kerosakan yang berlaku itu terlampau parah dan perlu kita selesaikan terlebih dahulu.
“Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja, RM30 bilion diperlukan, dan beberapa billion lagi untuk memperbaiki jalan tiap tahun.”
Dr Mahathir berkata, walaupun rakyat bosan mendengar cerita dan laporan salah laku dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ia adalah kenyataan yang berlaku.
“Rakyat mungkin bosan dengan cerita dan laporan berkenaan perbuatan pemerintah dahulu.
“Tetapi walaupun kita bosan, hakikatnya perbuatan yang salah oleh kerajaan BN di bawah Najib (Razak), memang menjadi masalah besar yang mengganggu pemulihan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata perdana menteri lagi.
Beliau yang juga pengerusi PH menjelaskan, reformasi dalam undang-undang juga sudah dilaksana atau sedang dilaksana pentadbiran PH dengan semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatal atau dihenti penguatkuasaannya.
“Pelaksanaan hukum bunuh dihenti sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini dihapuskan.
“Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan. Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini.”
Selain itu, PH juga sepenuhnya menjunjung “the rule of law” apabila tiga cabang kerajaan- eksekutif, legislatif dan kehakiman- dipisahkan dengan jelas.
Janji PH untuk mengembalikan status Perjanjian Malaysia 1963 juga telah dilaksana dan diperakui oleh kerajaan pusat dengan pengiktirafan Malaysia sebagai cantuman antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, katanya.
Menurutnya lagi, Malaysia juga berjaya mengelak daripada menjadi negara kucar kacir walaupun terdapat kebimbangan ketegangan kaum dan agama tercetus kerana perubahan kerajaan.
Tambahnya, pertumbuhan ekonomi juga masih berterusan dan terdapat tanda-tanda menunjukkan kepercayaan pelabur sudah kembali meningkat.
PH juga sudah memulakan usaha untuk kesejahteraan kumpulan yang selama ini terpinggir seperti peneroka Felda dan masyarakat India, katanya lagi.
“Inisiatif-inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India dan usaha ini sedang dipergiatkan.” – 9 Mei, 2019.
Komen