Buat pilihan raya PBT di kawasan tertentu sahaja, kata exco Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Buat permulaan, ia boleh diadakan di kawasan tertentu bagi mengelak ketegangan kaum, kata Jagdeep Singh Deo. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019.

PILIHAN raya pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar diadakan di kawasan tertentu sahaja dan bukannya di seluruh negara, kata Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang pilihan raya itu boleh mencetuskan ketegangan kaum.

“Kebimbangan PM boleh ditangani. Pilihan raya tempatan boleh diadakan untuk majlis (perbandaran) terpilih sahaja, bukan seluruh negara,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Jagdeep ditanya tentang pendirian Pulau Pinang terhadap hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperkenalkan semula pilihan raya PBT menjelang 2021 di Malaysia.

Menteri Zuraida Kamaruddin awal bulan ini dilaporkan berkata yang kementeriannya sedang mengkaji model terbaik untuk pilihan raya itu, dan sedang mengumpul pandangan pelbagai pihak sebelum membentangkannya kepada Kabinet.

Pilihan raya PBT pernah diadakan pada 1951 hingga 1965, membenarkan rakyat Malaysia memilih ahli majlis perbandaran. Ia digantung semasa Konfrontasi Indonedia dan perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman berjanji akan melaksanakannya semula selepas konfrontasi selesai.

Tetapi ia tidak pernah dibuat semula walaupun konfrontasi tamat pada 1966. Sejak itu, ahli majlid dilantik kerajaan negeri.

Beberapa tahun lepas, kerajaan Pulau Pinang cuba mengadakan semula pilihan raya PBT, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2014 memutuskan kerajaan negeri tidak ada bidang kuasa mengadakan pilihan raya PBT kerana Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 menghalang negeri mengadakannya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mencadangkan pilihan raya PBT diadakan semula, walaupun ia tidak dimasukkan ke dalam manifesto PRU14.

Pada Disember tahun lepas, Dr Mahathir berkata pilihan raya PBT bukan sebahagian agenda PH dan ia boleh mencetuskan ketegangan kaum. – 9 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen