Tun, jangan mati dulu


SALAM Ramadan mubarak Tun.

Saya sangat gembira Tun, walaupun Tun dah berumur 93 tahun, tapi masih boleh berpuasa. Saya yang muda pun, puasa kadang-kadang tak lepas, Tun. Semoga Allah sentiasa merahmati Tun dengan kesihatan yang berterusan.

Pertama sekali, saya selaku bekas pelajar Matrikulasi Back Door 1989, ingin mengucapkan “Happy First Birthday” kepada Pakatan Harapan (PH).

Tak kisah la Tun, nak habaq Back Door ke Front Door, janji saya dapat belajar dan dapat kerja. Pintu depan ke belakang ke, janji saya tahu berterima kasih pada kerajaan Malaysia. Tak kecik hati pun, Tun.

Orang putih JF Kennedy kata, “Ask not what your country can do for you”. Tapi kita di Malaysia, tidak habis-habis faham terbalik. “Ask what your country can do for you”. SPM depa gagal Bahasa Inggeris kot. Sebab tu kena “Bring English back to school”, Tun.

Sedar tak sedar, sudah setahun Kak Mah dan Si Bibir Merah tidak beli beg baru, jam baru, tak dapat naik Equanimity, tak dapat “Happy New Year” di Sydney, New York, London. Yang paling tak best, tak dapat buat parti karaoke dan sebagainya. Nyanyi-nyanyi dan berpoco-poco semua sudah berakhir. Susah betul hidup depa sekarang. Coklat kena curi pun jadi bahan Facebook.

Mungkin saya antara rakyat Malaysia yang dah letih dengan kerajaan Jib-Mah. Sebab itulah, walaupun banyak U turn, banyak janji tak ditepati, banyak menteri yang 5/10, saya lebih suka bersikap positif dan melihat pada prestasi keseluruhan PH.

Gelas saya selalu setengah penuh, bukan setengah kosong. Walaupun bukan semua polisi saya setuju dan happy, saya tetap terima PH seadanya, sebab sudah tidak sanggup kena rompak dengan Jib-Mah dan sekutu.

Tahun lepas, semua bersorak gembira PH menang. Happy la konon. Ingatkan, bila GST tidak ada, barang jadi murah, bolehlah melabur lebih sikit di ASB. PTPTN tidak payah bayar, dapatlah beli kereta Honda, sebab nak show off. Tol pun tidak payah bayar, dapatlah beli rokok banyak sikit. Tiba-tiba alamak, hendak hisap rokok di kedai Mamak pun jadi hal pula.

Apa nak buat, Tun. Tun pun bukannya Avengers yang ada super power. Tun punya team pun ramai yang hijau. Hijau itu bagus Tun, sebab “sustainable”.

Yang penting, duit RM1.3 bilion sudah dapat balik daripada penyamun. Yang penting Tabung Haji tidak bankrap dan projek penyamun tarbus dah banyak kena cantas, kena tunda.

Alhamdulillah. Lim Guan Eng pun rambut sudah banyak putih, tidak tidur malam dibuatnya menggodek akaun perbendaharaan yang berlubang-lubang sini-sana.

Kami seronok tengok puak-puak Umno yang kaya raya kena tahan SPRM. Dahlah curi duit, lepas itu show off pula di Instagram. Pendek akal betul anak bini depa ni. Ada juga yang merayu kesedihan sebab tak dapat nak sambut 10 Ramadan terakhir di Mekah buat kali ke-31. Kesian Abah.

Yang paling top, ada pula cerdik pandai yang kata Islam kena buli dek PH. Tapi saya tidak nampak pula situasi di Malaysia seperti di Gaza, Syria atau Palestin. Tidak ada pun bangunan kena bom, budak kecil mati merata, tak cukup makanan dan air.

Saya pun pelik, tang mana Islam kena buli ni, Tun? Apa lagi yang tidak cukup? Kata ilmu penuh di dada, tapi tidak reti bersyukur. Kata hebat Lughatul Arabiyah, tapi asas agamanya ke laut.

Akhir-akhir ni, banyak betul benda yang tidak kena dengan PH. Merdeka Centre buat survey. Rating Tun turun, ramai tidak puas hati, PRU15 pasti Umno menang balik, dan sebagainya.

Soalnya, rakyat Malaysia hendak apa sebenarnya? Baru setahun kata tidak mahu Jib-Mah. Tahun ni hendak sokong semula ApaMaluBossku?

Mereka ini hilang ingatan ke Tun? Haissh, saya pun pening la Tun.

Yang penting Tun, saya dan rakan-rakan ramai akan terus berdoa supaya Tun dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Kami tau Tun walaupun bukan Avengers, tapi Tun memang super hero. Tun sudah 24 tahun jadi perdana Menteri. Garam di laut mana yang Tun belum makan kan? Tok sah dok layan la budak kecik di Johor tu. Bazir masa.

Sempena ulang tahun PH yang pertama ni Tun, saya ucapkan syabas pada team PH. Team PH memang “trying their best”. Saya yakin. Nasib tidak baik, dapat pula kerajaan yang hancur. Nak kena baiki, rakyat hendak cepat-cepat bikin. Mereka ingat uruskan negara macam masak mi segera. Cepat dimasak, sedap dimakan.

Tidak apalah, Tun. Ramai lagi penyokong Tun yang akan sentiasa tekan “Like” untuk posting Tun. Tak payah bayar kami sebab kami ikhlas. Kami tak flip flop dan kami tak U turn. Yang penting, Tun jaga kesihatan. Tun jaga makan minum dan rehat banyak-banyak. Bila free Tun, jom naik kuda kat Putrajaya. Dah lama Tun tak ride. Jaga diri, Tun. I love you. – 9 Mei, 2019.

* Sairana Mohd Saad ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen