Selepas setahun, harapan masih tinggal harapan


Jahabar Sadiq

Bagi kebanyakan pengundi pada PRU14 yang mengundi untuk PH, hasrat mereka hanyalah mahu menyingkirkan Najib Razak dan BN. Mereka berjaya dan Dr Mahathir Mohamad kembali jadi perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2019.

BANYAK yang berubah dalam masa setahun ini. Kemenangan pilihan raya umum hari ini setahun yang lalu bertukar jadi rungutan panjang tentang lembapnya perubahan dan kemakmuran ekonomi selepas hampir sedekad pentadbiran Najib membazir.

Ya, Pakatan Harapan (PH) belum lagi jadi sebuah kerajaan ideal seperti yang diharapkan. Ada beberapa pencapaian setakat ini namun sesetengah janji masih tidak tertunai sementara yang lain dilanggar, terutamanya yang menyentuh soal hak dan kebebasan sivil.

Namun pernahkah 12.3 juta rakyat Malaysia yang mengundi pada 9 Mei tahun lalu membayangkan PH akan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada hari itu? Peratusan mereka yang keluar mengundi agak rendah, sementara PAS terus berpengaruh dan di beberapa kawasan, parti Islam itu jadi pengacau.

Bagi kebanyakan pengundi, iaitu 5.6 juta yang mengundi untuk PH, hasrat mereka hanyalah mahu menyingkirkan perdana menteri Najib Razak dan BN dari tampuk kuasa. Mereka berjaya dan Dr Mahathir Mohamad kembali jadi perdana menteri.

Beliau menunggu hampir sehari dan mengharungi beberapa jam yang meresahkan di Istana Negara untuk mengangkat sumpah pada 10 Mei. Begitulah kerajaan baharu ini bermula, tegang dengan pelbagai halangan di tengah-tengah rakyat yang nekad mahukan perubahan.

Tujuh pilihan raya kecil dan satu lagi hujung minggu ini membuatkan kerajaan baharu Dr Mahathir berjaga-jaga sementara rakyat terus mendengar tentang pembaziran Najib, tentang tidak cekapnya BN, tentang terhakisnya kuasa Melayu dan Muslim, serta janji tidak tertunai. Sementara itu, beberapa menteri PH perangainya sama seperti menteri BN apabila menjanjikan projek di sesetengah kawasan pilihan raya kecil.

Ahli politik semuanya sama, tidak kira dari parti mana.

Namun, Malaysia sudah menyaksikan sedikit kemajuan. Ada lebih banyak wanita yang memegang jawatan kanan. Ada kepelbagaian dalam perkhidmatan awam. Ada penjimatan dalam projek kerajaan. Duit 1MDB yang dirompak pula sedang dipulangkan pada Malaysia.

Beberapa menteri cemerlang tetapi ada juga yang mula menunjukkan kelemahan sementara sebahagian besarnya tidak wujud dalam hidup rakyat seharian, baik kerana dasar atau kerana tidak turun ke padang untuk tahu lebih dalam apa yang merunsingkan rakyat kebanyakan.

Biasa saja sebenarnya apa yang merunsingkan rakyat – duit.

Era Najib ditandai dengan pemikiran duit adalah segala-galanya, ketika duit ditabur kepada pelbagai kumpulan dan kelompok untuk mendapatkan undi. Duit itu hari ini jadi hutang kerajaan.

Jadi, apa saja penjimatan setakat ini digunakan untuk menampung hutang tersebut, sekarang dan untuk beberapa tahun akan datang. Kesannya sama – tiada duit untuk infrastruktur yang mustahak, dan tiada duit untuk rakyat.

Dari sinilah timbulnya rungutan tentang PH. Perubahan legislatif lambat berlaku sementara suasana perniagaan lebih lembap berbanding setahun lalu semasa BN berkuasa.

Kerajaan Dr Mahathir, terutama pasukan ekonominya, mesti menangani isu ini ketika ia mula melangkah masuk ke tahun yang kedua mandat rakyat. Selain pendidikan, kemakmuran juga kunci kebahagiaan semua rakyat Malaysia.

Setahun yang lalu, rakyat mengundi untuk sebuah kerajaan yang lebih jujur tetapi mereka juga memilih sebuah kerajaan dengan harapan untuk sebuah Malaysia yang lebih sejahtera.

Harapan itu masih belum tercapai. – 9 Mei, 2019.

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen